DUNIA
Konflik Iran-Israel: Kedutaan Malaysia diarah tutup - Mohamad Hasan
Mohamad turut mengesahkan banyak kedutaan negara lain juga sudah berbuat demikian susulan peningkatan ketegangan konflik membabitkan Iran dan Israel. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Iran diarahkan menutup operasi buat sementara, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, semua warga Kedutaan Malaysia terbabit turut diarahkan supaya pulang ke tanah air dengan segera.
Mohamad, seperti dilaporkan Berita Harian, turut mengesahkan banyak kedutaan negara lain juga sudah berbuat demikian susulan peningkatan ketegangan konflik membabitkan Iran dan Israel.
"Saya telah mengarahkan semua warga kedutaan, termasuk duta... semua rakyat Malaysia telah diminta keluar dari Iran.
"Namun, ada yang masih tidak mahu keluar, termasuk tiga pelajar di Qom dan seorang di Isfahan kerana berada jauh dari Tehran," katanya, di sini, hari ini.
Semalam, Mohamad berkata, Kementerian Luar telah mengarahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu.
Katanya Wisma Putra telah menguruskan pengangkutan darat untuk semua rakyat Malaysia menuju ke Ashgabat, Turkmenistan.
"Lantaran tiada sebarang penerbangan dibenarkan melalui Iran pada ketika ini, kita telah siapkan kenderaan untuk mereka melalui jalan darat pergi ke tempat paling dekat.
"Perjalanan sejauh 950km dianggarkan 13 jam kerana perjalanan ke sana perlu merentasi banjaran dan sebagainya," katanya menerusi satu perkongsian video kepada Astro AWANI.