DUNIA
Konflik Iran-Israel: Ketegangan memuncak, namun kuasa besar masih memerhati - Penganalisis
Serangan tindak balas yang dilancarkan oleh Iran agak mengejutkan dunia, khususnya Israel dan Amerika Syarikat, kerana daya ketahanan serta kemampuan peralatan senjata mereka, biarpun tidak semoden rejim Zionis Israel. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Ketegangan dan perang di antara Iran dan Israel dijangka akan terus memuncak pada minggu seterusnya, kata Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban.
Ringkasan AI
- Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban dari Universiti Utara Malaysia menjangkakan perang antara Iran dan Israel akan terus memuncak minggu hadapan tanpa campur tangan kuasa luar.
- Beliau menyatakan bahawa Iran masih belum meminta bantuan mana-mana negara dan masih membuka ruang untuk rundingan.
- Aminurraasyid turut berpandangan bahawa Israel dan Amerika Syarikat sedang mengulang naratif lama seperti serangan ke atas Iraq berkaitan senjata pemusnah besar-besaran.
Beliau berkata, serangan tindak balas yang dilancarkan oleh Iran agak mengejutkan dunia, khususnya Israel dan Amerika Syarikat, kerana daya ketahanan serta kemampuan peralatan senjata mereka, biarpun tidak semoden rejim Zionis Israel.
Namun Aminurraasyid beranggapan, perang tersebut masih belum sampai ke tahap campur tangan secara fizikal oleh pihak ketiga, biarpun Rusia dan China sudah memberi amaran agar Amerika Syarikat tidak masuk campur dalam perang tersebut.
“Kita melihat walaupun Iran begitu aktif ataupun begitu agresif memberikan serangan balas, dan mengeluarkan kekuatan mereka yang sebelum ini mungkin tidak dijangkakan sebegitu rupa. Tapi dalam masa yang sama masih tegas.
“Contohnya, mereka tidak mahu melibatkan Rusia, tidak melibatkan kuasa-kuasa lain untuk membantu mereka. Dan respons ini juga turut diberikan oleh Rusia sendiri di mana mereka menyatakan bahawa Iran setakat ini tak minta bantuan daripada pihak-pihak lain, tetapi di pihak Iran sendiri masih membuka ruang untuk rundingan.
“Dan kita sedia maklum, sebelum daripada serangan ini, mereka dalam proses negosiasi dengan Amerika Syarikat sendiri. Jadi pada kedudukan ini saya melihat bahawa pada minggu hadapan serangan kemungkinan besar akan berterusan daripada kedua-dua belah pihak (sahaja),” katanya.
Memasuki hari kesembilan, Israel dilaporkan telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas beberapa sasaran strategik di Tehran, termasuk fasiliti pengeluaran peluru berpandu, serta institusi penyelidikan yang didakwa terkait dengan program nuklear.
Iran turut membalas serangan peluru berpandu dan dron ke Beersheba dan Haifa, menyebabkan kerosakan bangunan termasuk Kementerian Luar Israel.
Setakat 21 Jun, sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh dengan lebih 1,400 tercedera di Iran, manakala 13 orang terbunuh dan 380 tercedera di Israel,
Dalam pada itu Aminurraasyid berkata, Israel dan Amerika Syarikat kali ini seperti cuba mengulangi naratif di mana episod Iraq diserang pada tahun 2001 dahulu, kononnya kerana menyimpan senjata pemusnahan berskala besar (WMD).
“Dalam hal ini ini yang saya kira di pihak Israel dan sekutu-sekutunya sedikit tersalah pengiraan, bagaimana mereka mungkin mengandaikan bahawa Iran macam juga Iraq satu ketika dulu yang diserang hebat dengan dakwaan yang ternyata palsu apabila mereka mendakwa Iraq memiliki WMD yang cuba disembunyikan.
“Dan naratif itu cuba diulang untuk menuduh Iran pada kali ini dengan naratif yang diulang-ulang. Sebenarnya bukan baru pun dakwaan untuk menyatakan bahawa Iran terlibat dengan pengayaan uranium, begitu juga mempunyai senjata nuklear dan seumpama. Ini bukannya naratif baru.
“Dalam hal ini bila Iran respons dengan kedudukan sekarang, dan ia memang mendatangkan kemusnahan (kepada Israel),” katanya lagi.