[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Konflik Iran-Israel: Pakistan hantar pulang ratusan pelajar ke rumah masing-masing

Agensi 18/06/2025 | 02:40 MYT
Ratusan pelajar yang telah dipindahkan selepas serangan Israel ke atas Iran akan dihantar pulang ke kediaman masing masing di seluruh Pakistan selepas mereka dibawa ke Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan. - Gambar Reuters
RAMALLAH: Ratusan pelajar dan jemaah haji yang telah dipindahkan selepas serangan Israel ke atas Iran akan dihantar pulang ke kediaman masing-masing di seluruh Pakistan selepas mereka dibawa ke Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan yang bersempadan dengan Iran.
Pesuruhjaya Quetta, Muhammad Hamza Shafqaat berkata, seramai 545 jemaah dan 207 pelajar telah tiba di Quetta melalui pintu sempadan Taftan dari Iran dan urusan penghantaran ke lokasi asal masing-masing akan bermula pada Rabu.
Seorang pelajar Pakistan, Musharraf Abbas yang tiba dari Tehran berkata, dia menetap di kawasan penempatan yang jaraknya hampir dua kilometer dari kediaman tentera Iran yang menjadi sasaran serangan.
"Kami dari Universiti Sains Perubatan Iran. Kediaman dan bilik anggota tentera (Iran) terletak kira-kira satu setengah kilometer dari kediaman kami.
"Mereka telah diserang lewat malam Jumaat lalu sekitar jam 3.30 pagi, dalam serangan yang mengorbankan pegawai atasan mereka, termasuk saintis, pengawal revolusi, dan pemimpin tentera," katanya.
Sementara itu, pentadbiran Panjgur mengumumkan penutupan pintu sempadan Pakistan-Iran di daerah itu untuk tempoh yang tidak ditentukan ekoran ketegangan yang semakin memuncak.
Namun begitu, pintu sempadan Taftan masih dibuka untuk aktiviti perdagangan.
Menurut pegawai, kumpulan seramai 214 pelajar Pakistan dalam jurusan perubatan dan kejuruteraan di Iran telah tiba di sempadan Taftan susulan serangan udara yang dilancarkan Israel. - Agensi
#Pakistan #Israel #Iran #konflik Asia Barat