DUNIA
Konflik Iran-Israel: Serangan peluru berpandu Iran hujani Israel
Antara lokasi yang terkena serangan peluru berpandu dari Iran hari ini. - Gambar/ Reuters
ISRAEL berdepan serangan peluru berpandu pada Ahad ketika Iran menegaskan bahawa semua pilihan kini terbuka untuk mempertahankan kedaulatannya susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang menurut Presiden Donald Trump telah “menghancurkan” fasiliti nuklear utama negara itu.
Trump mengarahkan serangan ke atas tapak nuklear Iran dan menyifatkannya sebagai kejayaan ketenteraan yang cemerlang, sambil memberi amaran akan ada serangan susulan jika keamanan tidak dicapai.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran ke atas Israel, mencederakan orang awam dan berikrar akan terus bertindak mempertahankan kedaulatan negara.
Kuasa-kuasa besar dunia memberi amaran terhadap peningkatan konflik yang berbahaya selepas usaha diplomatik gagal, dengan jumlah korban meningkat di kedua-dua pihak Iran dan Israel.
Beberapa jam selepas Trump menghantar pengebom B-2 ke Iran, tentera Israel mengeluarkan amaran kepada rakyat agar berlindung daripada serangan peluru berpandu yang lebih berat berbanding hari-hari sebelumnya.
Perkhidmatan ambulans Israel melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang cedera dalam serangan pagi itu. Siren serangan udara berbunyi di seluruh negara, memaksa jutaan rakyat berlindung di bilik keselamatan dan tempat perlindungan bom.
Letupan dan pemintasan peluru berpandu dapat dilihat di langit Baitulmuqaddis dan kawasan lain.
Rakaman dari Tel Aviv dan Haifa menunjukkan pasukan penyelamat menggeledah runtuhan, pangsapuri yang musnah, kereta yang remuk dan pasukan perubatan mengusung mangsa dari rumah yang rosak teruk.
Mengulas serangan AS di Iran, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata: “Peristiwa pagi ini amat dahsyat dan akan membawa kesan berpanjangan,” kata yang menyifatkan serangan AS sebagai pelanggaran serius terhadap Piagam PBB, undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear.
“Iran berhak menggunakan semua opsyen untuk mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan rakyatnya,” kata Araghchi di platform X.
Organisasi Tenaga Atom Iran menegaskan bahawa pembangunan industri nuklear negara itu tidak akan dihentikan, manakala pengulas televisyen negara menyatakan bahawa setiap warga dan anggota tentera AS di rantau itu kini menjadi sasaran yang sah.
Sebahagian besar syarikat penerbangan terus mengelak ruang udara Timur Tengah selepas serangan AS, menurut laman penjejakan penerbangan FlightRadar24.