DUNIA
Konflik Israel-Iran: IAEA sahkan pintu terowong tapak nuklear Isfahan terkena serangan AS
Grossi turut menegaskan bahawa Iran berhak mengambil langkah perlindungan terhadap bahan nuklearnya. - Foto fail
VIENNA: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan bahawa pintu masuk ke terowong bawah tanah di kompleks nuklear Isfahan, Iran, telah terkena serangan udara Amerika Syarikat (AS) dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan baru-baru ini.
Ringkasan AI
- IAEA mengesahkan bahawa pintu masuk ke terowong bawah tanah di tapak nuklear Isfahan Iran telah rosak akibat serangan udara AS.
- Terowong tersebut digunakan untuk menyimpan sebahagian stok uranium yang diperkaya, dan IAEA menekankan Iran masih boleh ambil langkah perlindungan selaras dengan NPT.
- Serangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bahan nuklear, selepas Iran isytihar mereka mungkin lindungi aset nuklear tanpa memaklumkan IAEA.
Dalam satu kenyataan rasmi, IAEA menyatakan bahawa terowong tersebut digunakan untuk menyimpan sebahagian daripada stok uranium yang telah diperkaya oleh Iran.
“Kami telah mengenal pasti bahawa pintu masuk ke terowong bawah tanah di tapak tersebut telah terjejas,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB.
Grossi turut menegaskan bahawa Iran berhak mengambil langkah perlindungan terhadap bahan nuklearnya, selagi ia mematuhi kewajipan di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
“Langkah khas oleh Iran untuk melindungi bahan dan peralatan nuklear boleh dilakukan selaras dengan obligasi keselamatan mereka,” katanya.
Sebelum ini, pegawai Iran menyatakan bahawa mereka akan mengambil tindakan untuk melindungi bahan nuklear negara tanpa perlu memaklumkan kepada IAEA, mencetuskan kebimbangan terhadap ketelusan dan keselamatan bahan radioaktif tersebut.
Serangan ke atas Isfahan merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan AS yang menyasarkan tiga tapak nuklear utama Iran - Fordow, Natanz dan Isfahan - dalam usaha yang -dikatakan bertujuan melemahkan keupayaan nuklear Tehran.