DUNIA
Konflik Israel-Iran: Khamenei berikrar 'hukuman akan diteruskan' terhadap Israel
Khamenei menyifatkan tindakan Israel sebagai kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan tanpa balasan. - Foto AP
TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan bahawa “hukuman akan diteruskan” ke atas Israel, dalam kenyataan langsung pertamanya selepas Amerika Syarikat (AS) menyertai operasi ketenteraan Israel terhadap Iran.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di platform X, Khamenei menyifatkan tindakan Israel sebagai kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan tanpa balasan.
“Musuh Zionis telah melakukan kesilapan besar, jenayah besar; ia mesti dihukum dan sedang dihukum - hukuman itu sedang dilaksanakan sekarang,” katanya.
Kenyataan itu disertakan dengan imej kontroversi yang menunjukkan tengkorak terbakar berlatarbelakangkan bangunan musnah dengan simbol Bintang Daud yang menyala api - satu isyarat visual yang memperkuatkan mesej bahawa Tehran melihat tindakan Israel sebagai punca langsung ketegangan yang semakin memuncak.
Kenyataan ini hadir selepas serangan udara oleh gabungan AS-Israel ke atas kemudahan nuklear utama Iran, yang turut mencetuskan tindak balas balistik dari Tehran dan kebimbangan terhadap konflik berskala penuh di Asia Barat.