DUNIA
Konflik Israel-Iran: Presiden Masoud isytihar 'perang 12 hari' tamat
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengumumkan secara rasmi berakhirnya "perang 12 hari" dengan Israel. - Foto Reuters
TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengumumkan secara rasmi berakhirnya "perang 12 hari" dengan Israel, menerusi satu mesej kepada rakyat yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA pada Selasa.
Ringkasan AI
- Presiden Iran Masoud Pezeshkian secara rasmi mengumumkan tamatnya "perang 12 hari" dengan Israel, menyifatkannya sebagai kejayaan rakyat Iran menentang provokasi.
- Presiden AS Donald Trump turut mengesahkan gencatan senjata menyeluruh antara Iran dan Israel, berkuat kuasa selepas misi ketenteraan terakhir selesai.
- Gencatan senjata ini dianggap langkah penting ke arah meredakan ketegangan di Asia Barat, yang semakin membimbangkan sejak konflik bermula.
“Hari ini, setelah ketabahan wira bangsa kita, yang keazamannya mencipta sejarah, kita menyaksikan terciptanya gencatan senjata dan pengakhiran perang 12 hari ini yang dikenakan oleh 'adventurisme dan provokasi' Israel,” kata Masoud seperti dipetik agensi berita antarabangsa.
Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mengumumkan bahawa satu gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa bagi menamatkan konflik yang telah mencetuskan kebimbangan global.
“Israel dan Iran telah mencapai persetujuan penuh untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya (dalam kira-kira enam jam dari sekarang, apabila misi akhir mereka selesai), selama 12 jam. Selepas itu, perang ini akan dianggap tamat,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Trump menyatakan keyakinannya bahawa perjanjian ini merupakan satu langkah penting ke arah penamatan konflik yang telah meningkatkan ketegangan ketara di Asia Barat sejak beberapa minggu lalu. -- Agensi via Sinar Harian