DUNIA
Konflik Israel-Iran: Rubio beri amaran terhadap Iran tidak tutup Selat Hormuz
Rubio berkata, penutupan laluan strategik yang memisahkan Iran dan Oman selebar kira-kira 55 kilometer itu akan menjadi tindakan "bunuh diri dari segi ekonomi" Tehran. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio memberi amaran kepada Iran agar tidak menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan utama dunia, selepas ahli Parlimen Iran menyokong langkah itu yang dijangka boleh mengganggu eksport minyak global, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Jika mereka melakukannya, ia akan menjadi satu lagi kesilapan besar," kata Rubio pada Ahad, kurang 24 jam selepas AS melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi nuklear utama Iran, menandakan peningkatan besar dalam konflik antara Israel dan Iran.
Rubio berkata, penutupan laluan strategik yang memisahkan Iran dan Oman selebar kira-kira 55 kilometer itu akan menjadi tindakan "bunuh diri dari segi ekonomi" Tehran.
"Ia akan menjejaskan ekonomi negara-negara lain jauh lebih buruk berbanding kami.
"Ia akan menjadi satu bentuk peningkatan ketegangan yang saya percaya wajar menerima tindak balas bukan sahaja daripada kami, tetapi juga dari negara-negara lain," kata Setiausaha Negara AS itu kepada stesen penyiaran Fox News.
Terdahulu pada Ahad, Parlimen Iran menyokong cadangan untuk menutup Selat Hormuz, menurut seorang ahli jawatankuasa keselamatan Parlimen.
Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak di tangan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang mempunyai kuasa penuh dalam segala hal strategik negara.
-- BERNAMA