DUNIA
Konflik Israel-Iran: Selat Hormuz tidak pernah ditutup - Duta Iran
Selat Hormuz tidak pernah ditutup sepanjang 12 hari serangan terhadap Iran, kata Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Selat Hormuz tidak pernah ditutup sepanjang 12 hari serangan terhadap Iran, kata Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
Ringkasan AI
- Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi menegaskan Selat Hormuz kekal dibuka sepanjang 12 hari serangan ke atas Iran, walaupun wujud propaganda sebaliknya.
- Serangan udara oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran menyebabkan kemusnahan infrastruktur dan kematian lebih 400 rakyat, namun kehidupan harian di Iran berjalan seperti biasa.
- Gencatan senjata antara Iran dan Israel diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 24 Jun.
Beliau berkata Iran sentiasa berusaha memastikan Teluk Parsi dan rantau berkenaan kekal "tenang, terkawal dan berada pada tahap keselamatan terbaik" memandangkan ia adalah hab perdagangan tenaga.
"Tiada halangan untuk keluar masuk ke Hormuz. Hormuz terbuka, malangnya terdapat banyak propaganda," katanya kepada media di Kedutaan Iran pada Khamis.
Selat Hormuz memainkan peranan penting dalam perdagangan dan tenaga global sebagai laluan strategik penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dari Timur Tengah.
Laluan sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman itu mengendalikan sebahagian besar bekalan tenaga dunia, dengan kira-kira satu pertiga eksport minyak mentah maritim dan sekitar 20 peratus penggunaan minyak global melalui selat itu setiap hari.
Selat Hormuz menjadi saluran utama bagi penghantaran harian kira-kira 20 juta tong minyak dan produk petroleum, sebahagian besarnya ke pasaran Asia, khususnya China.
Sebahagian besar eksport minyak Iran ke China juga melalui laluan maritim penting ini.
Duta itu berkata sepanjang 12 hari serangan ke atas Iran, kehidupan harian dan perniagaan berjalan seperti biasa, dengan bank terus beroperasi dan orang ramai di jalanan melaungkan slogan anti-Israel setiap kali mereka melihat peluru berpandu.
"Mereka (Israel) mahu merosakkan kami, tetapi serangan itu menyatukan rakyat Iran di dalam negara dan di seluruh dunia," katanya.
Valiollah berkata selepas 10 hari serangan ke atas Iran, 12 wilayah terjejas, sembilan hospital rosak dan lebih 400 rakyat Iran terkorban.
Ketegangan serantau di Timur Tengah memuncak sejak 13 Jun selepas Israel melancarkan serangan udara serentak ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Konflik itu semakin meruncing apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran di Natanz, Fordow dan Isfahan.
Pada 24 Jun, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara Iran dan Israel.
-- BERNAMA