DUNIA
Konflik Israel-Iran: Trump perketat maklumat sulit selepas serangan Iran

Trump dan sekutunya mendakwa kebocoran itu bermotifkan politik dan bertujuan melemahkan naratif pentadbiran. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, merancang untuk mengehadkan perkongsian maklumat risikan sulit dengan Kongres selepas laporan awal mengenai kesan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran bocor kepada media, menurut laporan eksklusif oleh Axios.
Kebocoran tersebut melibatkan penilaian awal oleh Agensi Risikan Pertahanan (DIA) yang menunjukkan serangan udara AS pada Sabtu lalu hanya menjejaskan program nuklear Iran selama beberapa bulan - jauh berbeza daripada dakwaan Trump bahawa kemudahan tersebut telah “dimusnahkan sepenuhnya”.
Laporan itu, yang dimuat naik ke sistem CAPNET - platform khas untuk berkongsi maklumat sulit dengan Kongres - telah bocor dalam masa kurang 24 jam, mencetuskan kemarahan di White House.
Seorang pegawai kanan menyatakan bahawa pentadbiran kini mengisytiharkan “perang terhadap pembocor maklumat” dan FBI telah memulakan siasatan rasmi.Trump dan sekutunya mendakwa kebocoran itu bermotifkan politik dan bertujuan melemahkan naratif pentadbiran.
Mereka juga mempertikaikan ketepatan laporan tersebut, yang hanya berdasarkan imej satelit dan diakui sendiri sebagai penilaian “berkeyakinan rendah”.
Langkah mengehadkan akses kepada CAPNET dijangka mencetuskan ketegangan baharu dengan ahli Kongres, khususnya dari Parti Demokrat, yang sebelum ini sudah tidak berpuas hati kerana tidak diberi taklimat sebelum serangan dilancarkan.
Dalam satu kenyataan di sidang kemuncak NATO, Trump tetap mempertahankan tindakan ketenteraannya dan menyifatkan kerosakan terhadap tapak nuklear Iran sebagai “sangat ketara”, walaupun laporan risikan awal menunjukkan sebaliknya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami