INTERNATIONAL

Konflik Rusia-Ukraine: Perancis enggan cetuskan ‘Perang Dunia Ketiga’ - Macron

Agensi 14/05/2025 | 01:15 MYT
Perang perlu dihentikan dan Ukraine mesti berada dalam kedudukan terbaik untuk memulakan rundingan, kata Macron. - Gambar fail AP
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan, negaranya tidak mahu mencetuskan “Perang Dunia Ketiga” susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, ketika beliau memperincikan hala tuju dua tahun terakhir pentadbirannya dalam satu wawancara di televisyen malam tadi.

Macron yang mula berkhidmat pada 2017, dijangka berundur pada 2027 selepas tamat dua penggal maksimum seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Perancis.

Beliau sebelum ini dilihat seperti ‘lame duck’ susulan kegagalan pilihan raya Parlimen mengejut yang menyaksikan parti sayap kanan menjadi blok terbesar di Parlimen, manakala partinya kehilangan majoriti.

Namun, sejak beberapa bulan lalu, Macron kembali menunjukkan semangat baharu terutamanya di pentas antarabangsa, dengan usaha mempercepatkan penyelesaian kepada perang Rusia-Ukraine yang telah berlarutan lebih tiga tahun.

“Kita mesti membantu Ukraine mempertahankan diri, tetapi kita tidak mahu mencetuskan Perang Dunia Ketiga,” kata Macron dalam temu bual lebih tiga jam itu.

“Perang ini perlu dihentikan dan Ukraine mesti berada dalam kedudukan terbaik untuk memulakan rundingan,” tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Macron mendedahkan, Perancis bersedia untuk berbincang dengan negara-negara Eropah lain mengenai penempatan pesawat pejuang Perancis yang dilengkapi senjata nuklear di wilayah mereka, seperti yang dilakukan Amerika Syarikat.

“AS telah menempatkan bom nuklear mereka di Belgium, Jerman, Itali dan Turkiye. Kami juga bersedia membuka perbincangan ini,” jelas Macron sambil menambah rangka kerja perbincangan itu akan diperincikan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.

Wawancara itu turut melibatkan pelbagai tokoh, termasuk Ketua Kesatuan Buruh CGT, Sophie Binet dan personaliti media sosial terkenal, Tibo Inshape.

Berkaitan kebimbangan kehilangan 600 pekerjaan di negara itu, Macron memberi jaminan kerajaan tidak akan menasionalisasikan operasi syarikat keluli ArcelorMittal, namun berikrar untuk menyelamatkan dua kilang syarikat tersebut di Perancis.

Dalam pengumuman penting itu juga, beliau berkata, kerajaan bercadang mengadakan beberapa referendum serentak bagi membolehkan rakyat membuat keputusan tentang pelbagai reformasi sosial dan ekonomi negara.

“Saya ingin kita mengadakan siri konsultasi,” kata Macron, sambil menambah pengundian itu akan diadakan pada satu hari dalam beberapa bulan akan datang melibatkan isu-isu “besar.”

Beliau turut terbuka terhadap cadangan Perdana Menteri, Francois Bayrou yang mencadangkan referendum berkaitan rancangan mengurangkan hutang negara.

Namun begitu, Macron menolak idea mengadakan referendum berkaitan isu imigresen, meskipun ditekan oleh parti-parti sayap kanan.

Dalam isu sosial, Macron mengulangi pendirian menentang pemakaian simbol keagamaan seperti hijab dalam pertandingan sukan rasmi.

Namun, katanya, untuk sukan rekreasi, keputusan itu terletak di tangan persekutuan sukan masing-masing.

Macron, 47, akan menamatkan tempoh pemerintahannya pada 2027, namun secara teori boleh kembali bertanding pada 2032, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Perancis.

Bagaimanapun, Macron menegaskan, ketika ini beliau “belum memikirkan masa depan selepas 2027”, dan hanya menumpukan kepada tugas mentadbir Perancis setiap hari. - Agensi


#konflik Rusia-Ukraine #Perang Dunia Ketiga #Perancis #Emmanuel Macron