DUNIA

Konflik sempadan: Pemimpin tunjuk komitmen bersama ke arah keamanan ASEAN

BantahTPPA 29/07/2025 | 14:55 MYT
ASEAN wajar membangunkan satu Kerangka Kerjasama Keselamatan Sempadan Serantau sebagai langkah ke hadapan. - Reuters
BANGKOK: Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dalam isu pertikaian sempadan serta peranan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyerlahkan kredibiliti ASEAN sebagai pemain konstruktif yang bertanggungjawab dalam menjaga keamanan serantau, menurut penganalisis geopolitik.

Pada Isnin, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi meredakan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan, selepas mengadakan pertemuan dalam satu mesyuarat khas di Putrajaya.

Pelaksanaan gencatan senjata yang bermula lewat malam 28 Julai itu sekali gus menghentikan pertempuran yang tercetus sejak 24 Julai lepas.

Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Chaiwat Meesanthan berkata persetujuan yang dicapai juga mencerminkan pegangan utuh pemimpin serantau terhadap prinsip Kepusatan ASEAN .

Beliau berkata lebih penting, mesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan satu perubahan penting dalam pendekatan ASEAN - daripada berpegang kepada prinsip tidak campur tangan kepada konsep "tanggungjawab serantau".

"Peranan aktif beliau (Anwar) dalam rundingan ini boleh dijadikan contoh dalam menyelesaikan konflik serantau lain seperti isu Myanmar atau Laut China Selatan," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu, Chaiwat berpandangan bahawa ASEAN wajar membangunkan satu Kerangka Kerjasama Keselamatan Sempadan Serantau sebagai langkah ke hadapan.

Beliau berkata ASEAN berpotensi untuk berkembang daripada sekadar sebuah platform dialog kepada entiti yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan serantau.

"Ini membuktikan bahawa ASEAN mampu merangka mekanisme keselamatan tersendiri tanpa bergantung kepada kuasa luar, asalkan negara-negara anggotanya bersedia untuk bekerjasama secara ikhlas, telus dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata usaha ini boleh menjadikan ASEAN sebagai model "kawasan serantau yang berprinsip" yang diyakini dan dihormati pada abad ke-21.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian dan Pembangunan Komunikasi Keamanan, Fakulti Sains Komunikasi, Universiti Prince of Songkla (Kampus Pattani), Prof. Madya Dr. Samatcha Nilaphatama menyifatkan kejayaan rundingan damai itu sebagai petanda positif bahawa pemimpin-pemimpin ASEAN benar-benar mahukan keamanan di rantau ini.

"Kita kini dapat melihat para pemimpin ASEAN tampil memainkan peranan mereka sebagai penggerak keamanan, termasuk menjadi pihak ketiga dalam kalangan negara anggota sendiri untuk membantu menyelesaikan konflik serantau," katanya.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian sempadan melibatkan kawasan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan.

Ketegangan terbaharu ini memuncak susulan insiden pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan pada 28 Mei yang telah mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pusingan terbaharu pertempuran bermula pada 24 Julai, dengan insiden pertempuran bersenjata dilaporkan di sepanjang sempadan utara Kemboja, mengakibatkan korban di kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

#assean #keamanan #konflik sempadan #gencatan senjata #Kemboja #Thailand