[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Konflik sempadan: Polis Thailand lepas gas pemedih mata ke arah rakyat Kemboja

Astro Awani 18/09/2025 | 06:34 MYT
Rakaman turut menunjukkan pihak Kemboja membaling kayu dan batu ke arah pasukan polis - Foto/ Tangkap layar video Reuters
POLIS Thailand melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ke arah orang awam Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Menurut pihak berkuasa kedua-dua negara, ia adalah kes paling serius sejak gencatan senjata diisytiharkan, mengakibatkan sekurang-kurangnya 23 warga Kemboja cedera.

Rakaman yang dikongsi Tentera Diraja Thailand menunjukkan pergelutan antara kedua-dua pihak pada Rabu, apabila penunjuk perasaan Kemboja cuba menanggalkan pagar kawat duri yang dipasang oleh Thailand.

Polis rusuhan Thailand kemudiannya mengarahkan mereka berundur, sambil melepaskan tembakan peluru getah, dan gas pemedih mata.

Rakaman turut menunjukkan pihak Kemboja membaling kayu dan batu ke arah pasukan polis.

Menurut kenyataan tentera Thailand, beberapa jam sebelum pertempuran berlaku, Pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) telah memasuki kampung yang dipertikaikan untuk memantau keadaan.

Kemboja dan Thailand mencapai perjanjian damai pada 28 Julai selepas pertempuran tentera selama lima hari di bahagian utara negara itu, yang menyebabkan hampir 150,000 rakyat Kemboja kehilangan tempat tinggal.



#konflik Thailand-Kemboja #gas pemedih mata #pertikaian sempadan #rakyat kemboja cedera