Konflik Sudan: AS sukar masuk campur kerana sekutu terlibat sama dalam perang - Penganalisis

Antara penduduk El-Fasher yang hilang tempat tinggal susulan serangan RSF. - Gambar AP
KUALA LUMPUR: Sukar untuk Amerika Syarikat (AS) campur tangan dalam konflik di Sudan memandangkan sekutu rapatnya di Asia Barat; Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir, terlibat sama dalam perang saudara yang sedang berlanjutan.
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat berdepan kesukaran untuk campur tangan dalam konflik Sudan kerana sekutu rapatnya seperti Arab Saudi, UAE dan Mesir turut terlibat secara langsung dalam perang saudara tersebut.AS perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan hubungan dengan sekutunya, walaupun terdapat tekanan untuk menghentikan genosid dan menghalang pengaruh Rusia di Sudan.Rundingan damai antara SAF dan RSF yang dimediasi Mesir gagal dilaksanakan sepenuhnya, menyebabkan RSF melancarkan serangan dan pembunuhan beramai-ramai di El-Fasher.
“Maka, agar mencabar untuk AS memberi tekanan kepada mana-mana satu negara tersebut atau ketiga-tiganya sekali, walaupun Presiden AS, Donald Trump mahu penuhi cita-cita menjadi ‘Presiden Keamanan’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tambahnya, AS juga perlu memainkan peranan dalam konflik yang melanda Sudan bagi mengelakkan pihak yang cenderung kepada Rusia tidak menguasai negara berkenaan.
Dalam pada itu, Prof. Adjung, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff pula berpandangan keganasan yang berlaku di Sudan sepatutnya boleh dielakkan.
“Pada 10 Oktober lalu, Mesir dan rejim tentera di bawah kepimpinan Ketua Pasukan Tentera Sudan (SAF), Abdel Fattah al-Burhan membentuk hubungan yang lebih rapat dengan tujuan membuka beberapa siri rundingan.
“Beberapa perjanjian telah dicapai, antaranya, SAF berjanji untuk menguatkuasakan gencatan senjata selama tiga bulan antara SAF- Pasukan Sokongan Pantas (RSF). Kedua, kedua-dua pihak akan mengusahakan gencatan senjata yang kekal.
“Ketiga, dalam tempoh enam bulan sebuah kerajaan kekal dan demokratik akan dibentuk. Tetapi, tiba-tiba berlaku peperangan dan ketidakstabilan susulan serangan RSF di kawasan dikuasai SAF di Darfur,” jelasnya.
Pada 26 Oktober lalu, RSF dilapor merampas kawalan ke atas El-Fasher dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.
Sudan mendakwa, RSF membunuh 300 wanita dalam tempoh dua hari pertama selepas memasuki bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan.
Pada Isnin, Malaysia menggesa gencatan senjata segera di Sudan berikutan keganasan berterusan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh RSF.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan menegaskan, Malaysia menyertai komuniti antarabangsa menuntut RSF agar menghentikan keganasan serta membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa terjejas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


