DUNIA

Konflik Thailand–Kemboja: Senjata tidak akan menyelesaikan, raja mungkin boleh - Penganalisis

Firdaus Azil 09/12/2025 | 14:00 MYT
Tentera Thailand dan Kemboja berbalas serangan di sempadan yang dipertikaikan, mencetuskan kebimbangan serantau. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Konflik sempadan Thailand dan Kemboja yang semakin tegang sehingga mengakibatkan pertumpahan darah baru-baru ini memerlukan pendekatan penyelesaian yang lebih konkrit.


Ringkasan AI
  • Konflik sempadan Thailand-Kemboja memerlukan penyelesaian konkrit, melibatkan campur tangan raja kedua-dua negara serta isu warisan kolonial, budaya, dan geopolitik.
  • Sempadan panjang 800 kilometer ini melibatkan isu pemilikan kuil dan tapak UNESCO, serta melibatkan konflik geopolitik, budaya, dan ekonomi antara dua negara.
  • Pengaruh ketenteraan yang kuat di Thailand dan sejarah perang Kemboja menimbulkan keperluan ASEAN untuk bersikap tegas dan seragam dalam memastikan keamanan serantau tanpa campur tangan kuasa besar.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menurut Pengarah Institusi Kajian Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib, perbincangan ke arah keamanan bukan sekadar rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G), tetapi juga campur tangan Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Raja Kemboja, Norodom Sihamoni.

Tegasnya, pertempuran itu bukan isu baharu, tetapi konflik berusia lebih 100 tahun yang berpunca daripada sempadan kolonial, warisan budaya dan kepentingan geopolitik.

Beliau menegaskan, hubungan dan tahap kepercayaan antara kedua-dua badan eksekutif amat rapuh, termasuk episod bagaimana Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra terpaksa melepaskan jawatan selepas perbualannya dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dibocorkan ke media sosial.

“Kalau kita libatkan hanya orang politik saja ataupun menteri kabinet, kedua-dua negara agak sukar untuk mencapai keputusan yang efektif dan berpanjangan kerana kerajaan awam ini boleh datang dan pergi, boleh bertukar-tukar.

"Jadi raja kedua-dua negara ini juga boleh dilibatkan untuk meredakan keadaan kerana kedudukan istana dan raja di Thailand sangat dominan dalam politik selain daripada tentera,” katanya.


Mengapa konflik ini berlarutan?

Shukri berkata, sempadan sepanjang 800 kilometer itu ditentukan oleh kuasa kolonial, meninggalkan isu pemilikan kuil purba dan tapak UNESCO yang bernilai dari segi pelancongan.

Ini menjadikan pertikaian bukan sahaja bersifat geopolitik, tetapi juga budaya dan ekonomi.

Kemboja, jelas beliau lagi, baru keluar daripada sejarah perang panjang – Perang Dunia Kedua, Perang Dingin, dan era Khmer Rouge yang mengorbankan jutaan nyawa.

Thailand pula mencatat hampir 30 rampasan kuasa sejak 1930-an, dengan tentera mendominasi politik. Kedua-dua negara adalah semi-tentera, di mana pengaruh ketenteraan mengatasi kerajaan awam.


ASEAN perlu lebih agresif

Dalam pada itu, Shukri berkata, pemimpin ASEAN perlu senada dan tegas dalam memastikan blok serantau ini terus aman, bebas daripada sebarang konflik serta campur tangan kuasa-kuasa besar, serta mesra pelabur.

Beliau berkata, kedua-dua Thailand dan Kemboja mungkin boleh mempertimbangkan cadangan model pengurusan sempadan bersama, seperti Zon Bebas Tentera (DMZ) Korea atau kawalan ketat India–Pakistan.

Melibatkan pemimpin tentera dan tokoh negarawan, bukan hanya menteri luar, supaya komitmen lebih kukuh.

“Setiap dolar yang dibelanjakan untuk perang adalah dolar yang dicuri daripada usaha membasmi kemiskinan dan pembangunan,” tegasnya.

Sekiranya perlu, Shukri berkata, ASEAN secara konsensus mungkin boleh mempertimbangkan peningkatan tekanan terhadap kedua-dua negara, termasuk sekatan ekonomi, jika ia boleh meredakan ketegangan yang semakin memuncak.


Konflik terkini

Pertempuran terbaru tercetus di beberapa lokasi sepanjang sempadan yang dipertikaikan, termasuk di wilayah Banteay Meanchey dan Oddar Meanchey.

Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, dua orang awam terbunuh apabila peluru berpandu Thailand mengenai Jalan Nasional 56 di Kemboja pada Isnin malam.

Thailand pula mendakwa serangan udara yang dilancarkan adalah tindak balas terhadap pergerakan ketenteraan Kemboja yang didakwa mengancam keselamatan wilayahnya.

Jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, mengesahkan sekurang-kurangnya dua anggota tentera Thailand terbunuh dan lapan lagi cedera.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menegaskan bahawa negaranya tidak menginginkan keganasan tetapi akan mempertahankan kedaulatan wilayah jika dicabar.

Konflik ini mencabar semula gencatan senjata yang dimeterai Julai lalu dengan pengantaraan Malaysia dan Amerika Syarikat, selepas lima hari pertempuran yang mengorbankan puluhan nyawa dan memaksa lebih 100,000 orang berpindah.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah punca konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja yang berlarutan?
    A: Punca konflik ini terutama berpunca daripada isu pemilikan kuil purba, tapak UNESCO, warisan budaya, dan kepentingan geopolitik yang ditinggalkan oleh kuasa kolonial.
  • Q: Mengapa hubungan antara Thailand dan Kemboja disifatkan rapuh oleh Pengarah Institusi Kajian Indonesia, Thailand dan Singapura, Dr Md Shukri Shuib?
    A: Hubungan antara Thailand dan Kemboja disifatkan rapuh kerana tahap kepercayaan antara kedua-dua badan eksekutif amat rapuh, termasuk kontroversi seperti perbualan antara Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja yang dibocorkan ke media sosial.
  • Q: Apakah cadangan langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyelesaikan konflik ini?
    A: Pengarah Institusi Kajian Indonesia, Thailand dan Singapura, Dr Md Shukri Shuib menggalakkan pemimpin ASEAN untuk memastikan blok serantau ini terus aman dengan mempertimbangkan model pengurusan sempadan bersama, seperti Zon Bebas Tentera (DMZ) Korea atau kawalan ketat India-Pakistan dengan melibatkan pemimpin tentera dan tokoh negarawan.
  • Q: Apakah yang berlaku dalam pertempuran terbaru di sempadan antara Thailand dan Kemboja?
    A: Dalam pertempuran terbaru, Kementerian Pertahanan Kemboja melaporkan dua orang awam terbunuh akibat serangan peluru berpandu Thailand, manakala Thailand pula mendakwa serangan udara mereka adalah tindak balas terhadap pergerakan ketenteraan Kemboja yang dianggap mengancam keselamatan wilayahnya.
  • Q: Bagaimanakah reaksi Perdana Menteri Thailand terhadap konflik ini?
    A: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menegaskan bahawa negaranya tidak menginginkan keganasan tetapi akan mempertahankan kedaulatan wilayah jika dicabar, sejajar dengan usaha untuk menyelesaikan konflik dengan pengantaraan Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum ini.



#Thailand-Kemboja #konflik sempadan #Geopolitik Asia Tenggara #Md Shukri Shuib