[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
DUNIA

Kongres AS siasat Starlink milik Elon Musk berhubung pusat penipuan di Myanmar

Astro Awani 14/10/2025 | 01:50 MYT
Starlink kini menjadi perhatian pihak berkuasa kerana potensi penyalahgunaan oleh sindiket jenayah. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap penggunaan perkhidmatan satelit Starlink milik Elon Musk oleh sindiket penipuan kewangan yang beroperasi di Myanmar dan beberapa negara Asia Tenggara.


Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Kongres mengesahkan siasatan terhadap penggunaan Starlink oleh sindiket penipuan kewangan di Myanmar dan Asia Tenggara yang menyasarkan mangsa di AS.
  • Senator Maggie Hassan menegaskan SpaceX perlu bertanggungjawab menyekat akses jenayah terancang terhadap perkhidmatan mereka.
  • Aktivis dan peguam antipenipuan menggesa SpaceX memperketat sistem pengesanan lokasi dan pengesahan pengguna; SpaceX masih belum beri kenyataan rasmi.


Siasatan itu menyusul selepas laporan mendakwa bahawa pusat penipuan atau 'scam compounds' telah menggunakan akses internet berkelajuan tinggi Starlink untuk menjalankan aktiviti penipuan rentas sempadan, termasuk menyasarkan mangsa di AS melalui panggilan palsu, e-mel dan mesej teks.

Senator Maggie Hassan, yang mengetuai gesaan terhadap siasatan tersebut, menyatakan bahawa SpaceX mempunyai tanggungjawab untuk menyekat penggunaan perkhidmatan mereka oleh kumpulan jenayah terancang.

“Ramai rakyat AS tidak sedar bahawa penipuan yang mereka terima mungkin berpunca daripada pusat penipuan yang menggunakan Starlink di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Starlink, yang direka untuk menyediakan internet di kawasan terpencil dan telah digunakan dalam situasi kecemasan seperti peperangan dan bencana alam, kini menjadi perhatian pihak berkuasa kerana potensi penyalahgunaan oleh sindiket jenayah.

Peguam dan aktivis antipenipuan turut menggesa tindakan segera daripada SpaceX untuk menyekat akses tidak sah dan memperkenalkan sistem pengesanan lokasi serta pengesahan pengguna yang lebih ketat.

Setakat ini, SpaceX belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung siasatan tersebut.






#Starlink #Elon Musk #sindiket penipuan kewangan #Myanmar