Kontroversi Facebook: Haugen dakwa FB kaut untung sebelum sekat maklumat palsu

Astro Awani
Oktober 26, 2021 00:40 MYT
Frances Haugen meninggalkan premis selepas memberi keterangan kepada jawatankuasa bersama menggubal undang-undang keselamatan dalam talian, di Parlimen, London, 25 Okt, 2021. (Foto AP)
BEKAS saintis data Facebook, Frances Haugen mendakwa pada Isnin platform media sosial gergasi itu mengaut keuntungan sebelum menyekat maklumat palsu daripada sumber media alternatif.
Perkara itu dijelaskan Haugen kepada ahli-ahli Parlimen United Kingdom (UK) susulan kontroversi selepas Facebook mengalami gangguan awal bulan ini.
Memetik laporan Sputniknews, Haugen memberi penjelasan kepada jawatankuasa parlimen dan pihak yang meneliti rang undang-undang keselamatan siber berkenaan dasar syarikat tersebut yang memburukkan lagi kemelut kebencian.
Haugen berada di UK sebagai tetamu Parlimen untuk menjawab soalan mengenai kaedah-kaedah memantau dan menapis media sosial.
Sebelum ini, Setiausaha Kebudayaan, Nadine Dorries memaklumkan rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Parlimen bertujuan untuk menghalang penyalahgunaan di platform media sosial terutamanya daripada akaun individu yang tidak dikenali.
Untuk rekod, ancaman dan gangguan sama ada menerusi panggilan telefon atau secara dalam talian diklasifikasi sebagai kesalahan di UK dan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara.
Haugen mendakwa algoritma yang digunakan Facebook adalah melampau terhadap penggunanya berdasarkan pilihan dan interaksi mereka menggunakan platform media sosial.
BACA: Bekas pekerja dakwa Facebook abai keselamatan pengguna, pentingkan keuntungan
Namun, dakwaan tersebut turut mencetuskan pelbagai kritikan termasuk dari Pemimpin Parti Liberal Demokrat Britain, Nick Clegg yang menyatakan ia memerlukan dua pihak untuk menyaksikan kandungan seperti yang dipilih oleh pengguna.
Sebelum ini, Haugen memberi keterangan kepada Kongres AS bahawa pihak Mark Zuckerberg gagal bertindak pantas untuk menghalang penunjuk perasaan di bangunan Capitol di Washington DC pada 6 Jan daripada berkomunikasi
#Frances Haugen #Facebook #mengaut keuntungan #maklumat palsu