Kontroversi Miss Universe 2025: Fatima Bosch dakwa dihina, peserta bertindak keluar dewan

Bosch mendakwa Nawat menghina dan mengarahkannya supaya berdiam diri semasa acara pra-liminary. - Foto Instagram/fatimaboschfdz
BANGKOK: Pertandingan Miss Universe 2025 tercemar dengan kontroversi apabila wakil Mexico, Fatima Bosch, mendakwa dirinya dihina oleh Nawat Itsaragrisil, ahli perniagaan Thailand yang juga Presiden Miss Universe bagi Asia dan Oceania, semasa acara pra-pembukaan di Bangkok pada Isnin.
Ringkasan AI
- Kontroversi melanda Pertandingan Miss Universe 2025 apabila wakil Mexico, Fatima Bosch, mendakwa dihina oleh Presiden Miss Universe Asia dan Oceania, Nawat Itsaragrisil, semasa acara pra-liminary di Bangkok.
- Bosch menegaskan pentingnya wanita mempertahankan maruah dan menolak layanan yang menjatuhkan harga diri, selepas dituduh "bodoh" oleh Nawat kerana menyuarakan ketidakpuas hati terhadap organisasi Miss Universe.
- Insiden ini dipandang sebagai isyarat ketegangan antara Nawat dan kepimpinan baru Miss Universe Organization, di mana MUO menegaskan komitmen untuk melindungi maruah dan keselamatan peserta, sementara sokongan kepada Bosch turut diterima daripada peserta lain serta di media sosial.
Apabila Bosch kemudiannya bersuara untuk menjelaskan tindakannya, Nawat seolah-olah tidak berpuas hati malah meminta campur tangan petugas keselamatan.
Hal itu mencetuskan rasa janggal di dalam dewan taklimat berkenaan, hingga ketegangan memuncak apabila beberapa peserta turut bangun dan meninggalkan dewan sebagai tanda solidariti terhadap Bosch.

Ketegangan memuncak apabila beberapa peserta bangun dan meninggalkan bilik sebagai tanda sokongan kepada Bosch.
Dalam rakaman video yang tersebar, Nawat dilihat mengarahkan peserta lain duduk jika mahu terus bertanding, sebelum memanggil pihak keselamatan untuk mengiringi Bosch keluar.
Bosch turut mendakwa Nawat memanggilnya “bodoh” kerana menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap organisasi Miss Universe.
“Saya hormati Thailand dan rakyatnya, tetapi tindakan pengarah anda tidak wajar. Saya dipanggil ‘bodoh’ hanya kerana bersuara. Saya tidak mencetus masalah, saya hanya mahu berkelakuan baik dan memberi yang terbaik,” katanya kepada media di luar dewan taklimat.
Beliau menegaskan bahawa wanita perlu mempertahankan maruah dan tidak tunduk kepada layanan yang menjatuhkan harga diri.
“Kami wanita yang punya suara dan kuasa. Tiada siapa boleh halang kami,” tegasnya.
Nawat, yang juga pemilik pertandingan Miss Grand International, baru-baru ini memperoleh saham daripada bekas pengarah Miss Universe, Anne Jakrajutatip.
Pemerhati melihat insiden ini sebagai petanda ketegangan antara Nawat dan kepimpinan baharu Miss Universe Organization (MUO) yang kini diterajui Raúl Rocha dari Mexico dan Mario Búcaro dari Guatemala.
Dalam kenyataan rasmi, MUO menegaskan komitmen untuk melindungi maruah dan keselamatan semua peserta, serta memaklumkan bahawa Búcaro akan ke Thailand bagi mengukuhkan kerjasama dengan negara tuan rumah.
Sokongan terhadap Bosch turut dizahirkan di media sosial, termasuk daripada Miss Universe 2024 dari Denmark, Victoria Kjaer Theilvig, yang memuji keberanian Bosch mempertahankan maruah dan nilai diri sebagai Wanita.

Miss Universe Denmark, Victoria Kjaer Theilvig yang bangga dengan keberanian Bosch menegakkan maruah dan menunjukkan nilai diri seorang wanita.
Pertandingan akhir Miss Universe dijadual berlangsung pada 20 November jam 7 malam dan akan disiarkan secara langsung di Telemundo serta platform penstriman Peacock.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


