[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Konvoi Global Sumud Flotilla kini di zon kuning, peserta mohon doa rakyat Malaysia

Faida Rahim 29/09/2025 | 23:30 MYT
Peserta Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Ustaz Mad Kechik mengesahkan kapal konvoi menuju ke Gaza secara rasmi telah memasuki zon kuning. - Gambar X
KUALA LUMPUR: Peserta Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman mengesahkan kapal konvoi menuju ke Gaza secara rasmi telah memasuki zon kuning.

Dalam hantaran di sosial media beliau, pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) itu berkata, konvoi pelayaran dijangka memasuki zon merah pada Khamis.

"Selesai night watch dua jam hari ini. Ada nampak beberapa drone tapi jauh. So kita tenang tenang saja. Sikit je lagi nak sampai G. Tunggu kami datang ya saudaraku," tulisnya ringkas awal pagi ini.

Dalam hantaran sama, beliau turut memohon doa orang ramai agar perjalanan peserta konvoi GSF selamat.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan Malaysia, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik turut memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar pelayaran misi GSF ke Gaza berjalan lancar dan selamat.

Menurut beliau, kapal konvoi dinaiknya kini telah melepasi zon kuning dan dijangka akan memasuki zon merah sebelum tiba di perairan Gaza.

"Doakan kami semoga selamat sampai ke bumi Gaza, sekarang kami baru sahaja melepasi garisan kuning dan Insya-Allah kami akan menuju ke zon merah seterusnya kami akan sampai ke bumi Gaza dengan izin Allah SWT.

"Tidak ada daya dan kekuatan melainkan daya dan kekuatan Allah SWT yang amat agung yang sangat mulia. Insya-Allah, kami hanya berdoa dan bermunajat, doakan kami semua," katanya.

Zon Kuning merujuk kepada kawasan berjaga-jaga sejauh 300 batu nautika dari pesisir Gaza, manakala Zon Merah merupakan kawasan berisiko tinggi yang lebih hampir dengan perairan yang dikawal ketat oleh rejim Zionis.

GSF yang membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan disertai lebih 34 rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa dari pelbagai negara yang bertujuan menembusi sekatan laut Israel dan menghantar bantuan terus ke Gaza.

Sebelum ini dilaporkan, GSF berdepan cubaan intimidasi dan gangguan ketika pelayaran membawa bantuan ketika mereka semakin menghampiri perairan Gaza.







#bantuan kemanusiaan #GSF #Gaza #Global Sumud Flotilla GSF