DUNIA

Konvoi UAE bawa bekalan perubatan dan makanan masuk ke Gaza

Bernama 04/09/2025 | 20:00 MYT
Bekalan perubatan disumbangkan oleh UAE kepada WHO di Gaza untuk diagihkan ke hospital di seluruh wilayah berkenaan. - Gambar hiasan
AL ARISH (Mesir): Sebuah konvoi bantuan kemanusiaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memasuki Semenanjung Gaza pada Khamis melalui lintasan sempadan Rafah, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan negara itu untuk menyokong dan meringankan penderitaan rakyat Palestin di bawah rangka kerja Operasi Chivalrous Knight 3.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), konvoi itu terdiri daripada 23 trak, termasuk 16 membawa bekalan perubatan yang disumbangkan oleh UAE kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Gaza untuk diagihkan ke hospital di seluruh wilayah berkenaan.

Bekalan itu termasuk ubat-ubatan, larutan perubatan serta peralatan menyelamat nyawa seperti ventilator, mesin dan penapis dialisis, peranti sokongan pernafasan, pam infusi dan alat pemantau glukosa darah.

Penghantaran itu juga mengandungi perabot dan peralatan penjagaan kesihatan penting, termasuk katil hospital canggih, katil pediatrik dan neonatal, pengusung pesakit untuk pemindahan kecemasan, kerusi roda dan tongkat ketiak. Peralatan sokongan seperti peti sejuk khas untuk menyimpan ubat dan vaksin sensitif turut dibekalkan.

Selain itu, tujuh trak membawa pelbagai bekalan makanan bagi membantu memenuhi keperluan pemakanan yang mendesak.

Menerusi Operasi Chivalrous Knight 3, UAE terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, berusaha meringankan penderitaan mereka dan memenuhi keperluan asas kumpulan paling terjejas.

-- BERNAMA




#bantuan kemanusiaan #UAE #konvoi bantuan #Semenanjung Gaza #Palestin #perubatan