Korban banjir besar Jakarta meningkat kepada 21

Astro Awani
Januari 2, 2020 03:11 MYT
Sekurang-kurangnya 21 mangsa dilaporkan terkorban dalam banjir yang melanda ibu kota Indonesia sejak tiga hari lalu. -AP
Sekurang-kurangnya 21 mangsa dilaporkan terkorban dalam banjir yang melanda ibu kota Indonesia sejak tiga hari lalu.
Jumlah itu meningkat daripada angka awal sebanyak sembilan mangsa sejak semalam dan 16 mangsa awal pagi ini, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Sosial, Joko Hariyanto.
Sementara itu, dalam perkembangan awal pagi tadi, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata setakat jam 8 pagi ini, lebih 30,000 mangsa banjir dilaporkan masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga dua meter.
Selain beberapa kawasan di ibu negara Jakarta, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor, turut mengalami banjir semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.
Mereka yang meninggal itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik.
Menurut BNPB, beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih, namun masyarakat diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan berterusan hingga Khamis.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan antara punca banjir itu adalah hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi pada 2007 mencatatkan bacaan 340 mm.
Menurut twitter rasmi Traffic Management Center (TMC) Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), beberapa jalan utama di Jakarta seperti masih tidak dapat digunakan kerana digenangi air, antaranya di Simpang Cempaka Mas, Jalan S Parman, Jalan Rasuna Said, Jalan Pemuda Rawamangun dan Jalan Gatot Subroto.
Lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur yang tidak dapat beroperasi pagi semalam kerana landasan di lapangan terbang itu digenangi air, juga dijangka kembali beroperasi sepenuhnya hari ini.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia di Jakarta dan kawasan sekitar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan jika memerlukan sebarang bantuan konsular, boleh menghubungi kedutaan Malaysia di talian +62 813 80813036.
#Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika #Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia #banjir jakarta #BMKG #BNPB #Joko Hariyanto #Kementerian Hal Ehwal Sosial #mangsa banjir #Tangerang