Skip to main content

Dunia

Korban rusuhan penjara Sri Lanka meningkat kepada 26, tiga kertas siasatan dibuka

Security personnel escort prisoners to a bus in the compound of a prison where deadly clashes broke out on Sunday, in Negombo, 35 kilometers (22 miles) north of the capital Colombo, Sri Lanka, Monday, July 6, 2026. (AP Photo)
Siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai tercetus antara dua kumpulan banduan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di dalam penjara. -Foto AP
Advertisement

COLOMBO: Angka kematian akibat rusuhan di Penjara Negombo, Sri Lanka meningkat kepada 26 orang setakat hari ini, membabitkan tujuh pegawai penjara dan 19 banduan, lapor Independent.

Menteri Kehakiman Sri Lanka, Harshana Nanayakkara, mengesahkan perkara itu dan menyifatkannya sebagai satu tragedi, selain memaklumkan seramai 77 individu lagi yang terdiri daripada 23 pegawai penjara dan 54 banduan masih menerima rawatan di hospital.

Susulan kejadian itu, kerajaan mengumumkan tiga siasatan berasingan melibatkan jawatankuasa khas yang diketuai bekas hakim, siasatan polis serta siasatan dalaman Jabatan Penjara.

"Siasatan terperinci akan meneliti punca utama yang mencetuskan pergaduhan ini, sama ada berpunca daripada kelemahan kawalan keselamatan atau faktor kesesakan dalam penjara," katanya di Parlimen hari ini.

Siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai tercetus antara dua kumpulan banduan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di dalam penjara.

Keadaan bertambah buruk apabila sekumpulan banduan menyerang pengawal yang cuba meleraikan pergaduhan, selain memecah masuk ke beberapa kawasan penjara termasuk farmasi serta cuba melarikan diri melalui pintu pagar utama sebelum berjaya dihalang pihak keselamatan.

Pasukan Gerak Khas (STF) polis bersama anggota tentera kini ditempatkan di kawasan penjara bagi memperketat kawalan keselamatan, manakala pemantauan udara dilakukan menggunakan helikopter dan dron.

Pihak berkuasa berkata keadaan kini terkawal dan beberapa banduan yang dikenal pasti sebagai dalang utama keganasan tersebut telah dipindahkan ke penjara lain bagi mengelakkan insiden berulang.

Must Watch Video

Advertisement