SEOUL: Korea Selatan bercadang menghantar sebahagian bekalan gas asli cecair (LNG) ke Eropah bagi membantu mengurangkan krisis tenaga susulan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine, menurut pegawai kerajaan pada Khamis.

Kebimbangan mengenai gangguan bekalan gas asli di Eropah meningkat di tengah-tengah krisis berterusan di Ukraine, berikutan Rusia merupakan pembekal gas terbesar ke Eropah, lapor agensi berita Yonhap.

Pada Rabu, pengeluar gas Rusia Gazprom memaklumkan pihaknya telah menghentikan bekalan gas asli ke Poland dan Bulgaria selepas negara-negara itu enggan membayar dalam mata wang rubel.

Korea Selatan memutuskan untuk membekalkan sebahagian daripada gas LNGnya ke Eropah, kata seorang pegawai kementerian industri.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran tentang bila dan jumlah yang ditawarkan Korea Selatan, tetapi penghantaran akan dibuat sebelum musim panas meskipun jumlahnya "tidak banyak".

Keputusan itu dibuat atas permintaan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Pada Februari, Washington meminta sokongan gas Korea Selatan bagi bekalan di Eropah, tetapi Seoul menolak permintaan ketika itu, menurut laporan media.

Harga import gas asli Korea Selatan bernilai AS$1,013.35 satu tan pada akhir Mac, meningkat 20.08 peratus berbanding bulan sebelumnya.

-- BERNAMA