SEOUL: Jumlah pelancong perubatan asing yang berkunjung ke Korea Selatan melepasi 2 juta orang tahun lepas, didorong minat global yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan perubatan negara itu, menurut satu laporan pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap.
Seramai 2.01 juta warga asing mengunjungi Korea Selatan bagi mendapatkan rawatan perubatan, pergigian dan pembedahan pada 2025, meningkat 71.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan tahunan Institut Pembangunan Industri Kesihatan Korea yang dikendalikan kerajaan.
Mengikut negara, seramai 618,000 orang atau 30.8 peratus adalah dari China, diikuti 600,000 dari Jepun, 185,000 dari Taiwan dan 173,000 dari Amerika Syarikat.
Bagi klinik dermatologi, seramai 459,000 pesakit dari China mendapatkan rawatan, diikuti 399,000 pesakit dari Jepun.
Di klinik pembedahan plastik pula, 97,000 pesakit dari Jepun mendapatkan rawatan, diikuti 57,000 pesakit dari China.
Sementara itu, data berasingan daripada Pertubuhan Pelancongan Korea menunjukkan pelancong perubatan asing membelanjakan 213.08 bilion won (US$154.35 juta) pada Julai, meningkat 66.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Jumlah perbelanjaan bulanan itu kekal melebihi 200 bilion won selama lima bulan berturut-turut dari Mac hingga Julai.
Mengikut negara, pelawat dari China membelanjakan 57.7 bilion won, diikuti Amerika Syarikat sebanyak 44 bilion won dan Jepun sebanyak 28.5 bilion won.
Mengikut jenis premis, 54.9 peratus daripada perbelanjaan pelancong perubatan asing adalah di klinik dermatologi, diikuti klinik pembedahan plastik sebanyak 19.3 peratus dan farmasi sebanyak 12.9 peratus.
Mengikut wilayah, pelancong perubatan asing membelanjakan 86.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan mereka di Seoul, diikuti Busan sebanyak 6.4 peratus dan Wilayah Gyeonggi sebanyak 3.7 peratus.
"Ini adalah hasil daripada persepsi yang semakin meningkat bahawa teknologi perubatan Korea Selatan bertaraf dunia, digabungkan dengan hakikat bahawa hospital dan klinik utama menyediakan sistem panduan pelbagai bahasa serta meningkatkan kemudahan rawatan," kata Profesor Yoon Ji-hwan daripada Universiti Kyung Hee.
-- BERNAMA-YONHAP