DUNIA
Korea Selatan, AS laksana rundingan perdagangan cari penyelesaian menang-menang

Di bawah perjanjian perdagangan yang ditandatangani pada 30 Julai, Korea Selatan bersetuju untuk melabur AS$350 bilion di AS sebagai pertukaran bagi AS menurunkan tarif timbal baliknya ke atas Korea Selatan kepada 15 peratus. - Gambar fail
SEJONG (Korea Selatan): Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha mencari penyelesaian menang-menang dalam rundingan lanjutan perdagangan mereka, kata menteri industri Seoul, sambil meminta semua pihak bersabar dengan perjanjian yang menurutnya mampu membentuk semula masa depan Korea, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menteri Industri Kim Jung-kwan berkata rundingan dua hala itu menemui jalan buntu tetapi kini berada dalam proses "bolak-balik" untuk mewujudkan penyelesaian "menang-menang" bagi kedua-dua pihak, sambil menyatakan yang kerajaan Seoul akan meneruskan rundingan dengan Washington sekalipun terdapat kebimbangan mengenai perjanjian rangka kerja perdagangan yang dicapai antara kedua-dua negara pada akhir Julai.
"Amerika Syarikat hari ini bukan negara yang kita kenali 10, 20 tahun lalu. Kita sedang berhadapan dengan Amerika Syarikat yang baharu dan dilahirkan semula," katanya dalam sidang media yang diadakan pada Selasa.
"Kami sedang bermain perlawanan ping-pong yang sukar... untuk mencapai persetujuan akhir yang boleh menjadi situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak," kata Kim, merujuk kepada pertemuannya yang terbaharu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick di AS minggu lalu.Di bawah perjanjian perdagangan yang ditandatangani pada 30 Julai, Korea Selatan bersetuju untuk melabur AS$350 bilion di AS sebagai pertukaran bagi AS menurunkan tarif timbal baliknya ke atas Korea Selatan kepada 15 peratus daripada cadangan awal 25 peratus selain juga mengurangkan tarifnya ke atas kereta Korea kepada 15 peratus daripada 25 peratus semasa.
Bagaimanapun, kebimbangan timbul sejak itu, dilaporkan disebabkan perbezaan butiran mengenai ikrar pelaburan Korea, di mana Seoul berusaha untuk memasukkan sebahagian besar pelaburan yang dirancang dengan pinjaman dan jaminan kredit, manakala AS menuntut pelaburan langsung.
"Sesetengah pihak bimbang yang AS akan mengambil kesemua pelaburan US$350 bilion itu, tetapi itu bukan sistemnya," kata Kim, sambil menyatakan yang semua projek pelaburan itu juga akan membantu syarikat Korea.
Mengenai pendapat yang Korea harus menyediakan sokongan kewangan kepada syarikat tempatan dan hanya menghadapi tarif 25 peratus daripada menandatangani perjanjian perdagangan yang tidak adil, Kim berkata kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan AS, menekankan yang hubungan Seoul dengan Washington mungkin "penting" untuk masa depan negara.
Ketika ditanya mengenai serbuan imigresen baru-baru ini ke atas ratusan rakyat Korea Selatan oleh pihak berkuasa imigresen AS, Kim berkata Lutnick berjanji untuk "menyelesaikan" isu imigresen berkaitan pelaburan Korea di AS semasa pertemuan terbaharu mereka di New York.
"Lutnick menyatakan rasa kesal terhadap isu itu (serbuan imigresen baru-baru ini ke atas rakyat Korea Selatan), menggunakan perkataan 'menyelesaikan'," kata Kim.
Kenyataan Kim itu dibuat di tengah-tengah kritikan di Korea terhadap serbuan pihak berkuasa imigresen AS di kilang bateri di Georgia, yang dikendalikan secara usaha sama antara Hyundai Motor Co. dan LG Energy Solution Ltd., pada awal September, yang menyebabkan penahanan lebih 300 rakyat Korea.
Rakyat Korea itu, kecuali seorang yang memutuskan untuk tinggal di AS, pulang ke tanah air minggu lepas dalam bentuk "kepulangan sukarela" selepas dibebaskan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami