DUNIA
Korea Selatan mulakan pemulihan rangkaian komputer kerajaan selepas kebakaran pusat data

Kerajaan telah memulihkan lebih 50 peratus peranti rangkaian di pusat berkenaan. - Gambar hiasan/ AFP Relax
SEOUL: Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya mula memulihkan operasi rangkaian komputer pentadbiran di pusat data kerajaan secara beransur-ansur di bandar Daejeon selepas kebakaran akibat letupan bateri melumpuhkan sistem berkenaan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Ringkasan AI
- Kebakaran akibat letupan bateri litium-ion di bilik komputer Perkhidmatan Sumber Maklumat Negara pada Jumaat melumpuhkan sistem rangkaian kerajaan; api berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas 22 jam.
- Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan memaklumkan lebih 50 peratus peranti rangkaian telah dipulihkan, termasuk 99 peratus daripada 767 peranti keselamatan utama, dan 551 sistem komputer yang tidak terjejas akan dioperasikan secara beransur-ansur.
- Daripada 647 sistem rangkaian kerajaan, 96 dipercayai rosak termasuk sistem pengenalan mudah alih dan perkhidmatan pos dalam talian; pasukan bomba dan polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca kebakaran.
Daripada 767 peranti utama berkaitan keselamatan, sebanyak 99 peratus sudah kembali berfungsi, katanya.
Kementerian itu berkata ia akan mula mengoperasikan 551 sistem komputer yang tidak terjejas secara langsung oleh kebakaran secara beransur-ansur bagi menilai sama ada perkhidmatan dalam talian beroperasi seperti biasa.
Daripada keseluruhan 647 sistem rangkaian kerajaan di pusat berkenaan, 96 dipercayai rosak akibat kebakaran terbaharu itu, termasuk sistem pengenalan mudah alih dan perkhidmatan pos dalam talian.
Daripada perkhidmatan yang terjejas, 436 adalah program awam manakala 211 ialah sistem intranet untuk pegawai kerajaan.
"Kerajaan sedang berusaha memulihkan sistem pentadbiran dengan segera.
"Kami akan mendedahkan perkembangan kerja pemulihan dan punca kebakaran ini secara telus," kata Ketua Ibu Pejabat Pengurusan Keselamatan Bencana, Kim Kwang-yong.
Pasukan bomba dan polis merancang untuk menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi menentukan punca kebakaran.
Pegawai kerajaan berkata letupan itu berlaku pada satu daripada bateri bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) ketika pekerja sedang memutuskan sambungan daripada pelayan untuk dipindahkan ke tingkat bawah tanah.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6 petang Sabtu, kira-kira 22 jam selepas kejadian, menurut pihak berkuasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami