SEOUL: Kementerian Luar Korea Selatan pada Ahad memaklumkan amaran perjalanan ke Arab Saudi dinaikkan ke tahap kedua tertinggi susulan serangan berterusan pemberontak Houthi Yaman terhadap negara Asia Barat itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kementerian itu memaklumkan amaran "Tahap 3" bagi Arab Saudi berkuat kuasa mulai 10 malam Ahad, dengan menyarankan semua rakyat Korea Selatan meninggalkan negara yang sedang berdepan serangan itu kecuali atas urusan mendesak, manakala mereka yang berhasrat ke Arab Saudi dinasihatkan membatalkan atau menangguhkan perjalanan.
Keputusan itu dibuat selepas Menteri Luar Cho Hyun mengadakan mesyuarat dengan perwakilan diplomatik Korea Selatan di 15 negara Asia Barat bagi menilai situasi keselamatan di rantau berkenaan.
Negara terbabit termasuk Arab Saudi, Yaman, Iran dan Israel.
Menurut kementerian itu, Cho mengambil maklum serangan Houthi baru-baru ini terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan beberapa ratus yang lain.
Houthi turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan dan penumpang supaya tidak menggunakan lapangan terbang serta ruang udara Arab Saudi.
Cho menggesa diplomat Korea Selatan di Asia Barat memberikan perhatian lebih terhadap keselamatan rakyat negara itu di luar negara serta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, menurut kementerian itu.
-- BERNAMA-YONHAP