DUNIA
Korea Selatan tingkat amaran perjalanan ke Iran
Israel melancarkan serangan ke atas ibu negara Iran awal pagi Jumaat, dengan letupan kuat bergema di seluruh Tehran. - Foto AP
SEOUL: Korea Selatan pada Selasa mengeluarkan amaran perjalanan khas ke seluruh wilayah Iran susulan ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak antara Israel dan Iran, menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar negara itu.
Amaran tersebut dinaikkan ke Tahap 3, iaitu tahap yang menasihati rakyat Korea Selatan agar meninggalkan Iran dengan segera dan mengelakkan sebarang perjalanan ke negara itu.
Langkah ini berkuat kuasa mulai jam 1 petang waktu tempatan dan mencerminkan kebimbangan serius terhadap keselamatan warganya di rantau bergolak itu.
“Kami akan terus memantau situasi di Asia Barat dan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan keselamatan rakyat Korea Selatan,” kata jurucakap kementerian dalam satu kenyataan.
Langkah ini turut mencerminkan peningkatan fokus kerajaan Korea Selatan terhadap perlindungan warganya di luar negara, terutama dalam landskap geopolitik yang tidak menentu.
Sebelum ini, beberapa negara lain termasuk Jepun dan Jerman turut mengeluarkan nasihat perjalanan serupa, mencerminkan kebimbangan global terhadap kemungkinan konflik berskala besar di Asia Barat.