[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Korea Utara bertegas tidak akan serah senjata nuklear

Agensi 30/09/2025 | 02:15 MYT
Kim Son Gyong menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), New York, pada Isnin. - Gambar Reuters
NEW YORK: Korea Utara menegaskan, tidak akan sekali-kali menyerahkan senjata nuklear miliknya, namun pada masa sama tidak menutup pintu untuk terus berunding dengan kuasa-kuasa dunia.

Kenyataan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Luar Negara, Kim Son Gyong dalam satu ucapan jarang-jarang dilakukan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Isnin.

“Memaksa pelucutan nuklear ke atas Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) adalah bersamaan dengan menuntut kami menyerahkan kedaulatan, hak untuk wujud, serta melanggar Perlembagaan negara,” katanya.

“Kami tidak akan sesekali melepaskan senjata nuklear yang menjadi undang-undang negara, dasar nasional, kuasa berdaulat serta hak untuk terus wujud. Dalam apa jua keadaan sekalipun, kami tidak akan berganjak daripada pendirian ini,” tegasnya.

Minggu lalu, pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, dilaporkan terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat - namun dengan syarat arsenal nuklear negara itu tidak diganggu.

Korea Utara yang melakukan ujian nuklear pertamanya pada 2006, kini berdepan sekatan besar-besaran PBB berhubung program senjata yang dilarang.

Negara itu dipercayai mengendalikan beberapa fasiliti pengayaan uranium termasuk di Yongbyon, yang pernah diumumkan ditutup tetapi diaktifkan semula pada 2021.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung dalam ucapannya di PBB pada Selasa berjanji untuk menamatkan “kitaran ganas” ketegangan dengan Korea Utara dan menegaskan, beliau tidak akan berusaha menukar rejim di Pyongyang.

“Seperti di masa lalu, DPRK akan terus bekerjasama dengan semua negara yang menolak pencerobohan, campur tangan, dominasi serta penindasan dan pada masa sama mendokong kebebasan serta keadilan tanpa mengira perbezaan ideologi dan sistem,” ujar Kim Son Gyong. - Agensi



#Korea Utara #senjata nuklear #UNGA #Pyongyang