Korea Utara dakwa AS sengaja tambah ketegangan

Astro Awani
Januari 14, 2022 00:20 MYT
Orang ramai melihat pelancaran ujian peluru berpandu Korea Utara yang disiarkan di stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan. - Foto AP
PYONGYANG: KOREA Utara mempertahankan ujian peluru berpandu yang dilancarkan pada Selasa.
Republik itu bertegas, ia mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan mendakwa Amerika Syarikat sengaja menambah ketegangan dengan mengenakan sekatan ke atas mereka.
Jurucakap Kementerian Luar memaklumkan, ujian peluru berpandu berkenaan sebahagian usaha memodenkan kemampuan pertahanan negara.
Ia tidak mensasarkan dan mengancam mana-mana negara jiran.
Pyongyang mendakwa senjata hypersonik yang diuji akan meningkatkan kedudukan strategik ketenteraannya.
Republik itu juga beri amaran akan bertindak sekiranya Amerika Syarikat terus melaksanakan konfrontasi.
Kenyataan ini dibuat sehari selepas Amerika Syarikat umum kenakan sekatan ke atas enam warga Korea Utara, seorang warga Rusia dan satu firma Rusia.
Washington mendakwa kumpulan ini bertanggungjawab dalam pemerolehan bahan-bahan dari Rusia dan China untuk program senjata Pyongyang.
#Korea Utara #Ujian Peluru Berpandu #pertahanan negara #Amerika Syarikat