SEOUL: Korea Utara mendakwa berjaya menguji dua jenis peluru berpandu jelajah strategik yang dilancarkan dari kapal selam bagi mengesahkan keupayaan operasi tentera laut serta kebolehpercayaan sistem pencegahan perangnya.
Menurut agensi berita rasmi KCNA, ujian itu dijalankan pada Rabu di perairan luar pantai timur negara berkenaan dengan kehadiran pegawai kanan tentera sebagai pemerhati.
KCNA tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis peluru berpandu atau kapal selam yang digunakan dalam ujian tersebut, namun menegaskan pelancaran itu tidak menjejaskan keselamatan negara-negara jiran.
Korea Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini giat membangunkan kapal selam moden yang mampu melancarkan peluru berpandu, selain memperkukuh program peluru berpandu balistik dan jelajahnya.
Pyongyang juga sebelum ini telah melaksanakan beberapa ujian pelancaran peluru berpandu daripada pelbagai platform, termasuk kapal selam lama yang masih digunakan.
Pembangunan kapal selam peluru berpandu moden merupakan antara keutamaan ketenteraan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, yang turut menyelia usaha mempertingkatkan keupayaan peluru berpandu strategik negara itu.