Korea Utara didakwa lancar SRBM ke Laut Timur

Bernama
Januari 1, 2023 04:30 MYT
Tentera Korea Selatan dakwa Korea Utara lancar peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) ke Laut Timur pada Ahad. -Gambar fail/AP
SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) ke Laut Timur pada Ahad, memetik Tentera Korea Selatan.
Ketua Turus Bersama (JCS) berkata pihaknya mengesan satu peluru berpandu dilancarkan dari Ryongsong di Pyongyang pada 2.50 pagi yang merentasi kira-kira 400 kilometer sebelum ia jatuh ke laut.
Ia merupakan satu lagi tindak balas terhadap pelancaran roket bahan dorong pepejal oleh Seoul pada Jumaat, lapor Yonhap memetik pemerhati Korea Utara.
Pada Sabtu, Korea Utara turut dilaporkan menembak tiga SRBM dari Daerah Chunghwa, di selatan Pyongyang, ke Laut Timur.
Pihak tentera Korea Selatan mengkategorikan pelancaran roket itu sebagai SRBM berdasarkan jarak dan trajektorinya.
Setakat tahun lepas sahaja Korea Utara telah melancarkan sekitar 70 ujian peluru berpandu balistik.
-- BERNAMA
#Korea Utara #peluru berpandu balistik jarak dekat #SRBM #Laut Timur