DUNIA
Korea Utara gesa Trump terima realiti nuklear baharu

Skrin televisyen di stesen kereta api Seoul memaparkan imej pelancaran peluru berpandu Korea Utara, 19 Julai 2023. - Gambar fail AP
SEOUL: Korea Utara menegaskan Amerika Syarikat (AS) perlu menerima realiti baharu bahawa negara itu kini sebuah kuasa nuklear, dan sebarang rundingan pada masa hadapan tidak akan membawa kepada penamatan program senjata nuklearnya, lapor media rasmi negara itu, KCNA.
Kenyataan itu disampaikan oleh Kim Yo Jong, adik perempuan kepada Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, yang dipercayai mewakili suara rasmi abangnya dalam isu-isu antarabangsa.
Beliau mengakui hubungan peribadi antara Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, "tidaklah buruk", namun memberi amaran bahawa jika Washington masih berharap hubungan tersebut boleh digunakan untuk menghentikan program nuklear Pyongyang, usaha itu hanya akan menjadi bahan ejekan.
“Jika AS gagal menerima realiti yang telah berubah dan terus berpegang kepada pendekatan lama yang gagal, maka pertemuan DPRK-AS hanya akan kekal sebagai ‘harapan’ di pihak AS,” katanya merujuk kepada nama rasmi Korea Utara, Republik Demokratik Rakyat Korea.Kim Yo Jong berkata, sejak rundingan antara Kim dan Trump berlangsung sebanyak tiga kali dalam penggal pertama Trump sebagai Presiden, keupayaan nuklear Korea Utara dan suasana geopolitik serantau telah berubah secara drastik.
“Sebarang cubaan untuk menafikan kedudukan DPRK sebagai negara pemilik senjata nuklear… akan ditolak sepenuhnya,” tegasnya.
Mengulas kenyataan dari Pyongyang itu, seorang pegawai White House berkata, Trump masih komited terhadap matlamat asalnya yang dirundingkan dalam tiga pertemuan dengan Kim sebelum ini.
“Presiden masih mengekalkan matlamat tersebut dan tetap terbuka untuk berinteraksi dengan Pemimpin Kim bagi mencapai penyahnuklearan sepenuhnya di Semenanjung Korea,” katanya kepada agensi Reuters.
Pada sidang kemuncak pertama mereka di Singapura pada 2018, Trump dan Kim menandatangani perjanjian secara prinsip untuk menjadikan Semenanjung Korea bebas senjata nuklear.
Namun, rundingan susulan di Hanoi setahun kemudian menemui kegagalan ekoran perbezaan pandangan berhubung penghapusan sekatan antarabangsa ke atas Pyongyang.
Trump sebelum ini menyifatkan hubungan beliau dengan Kim sebagai “hebat” dan White House juga mengesahkan beliau terbuka untuk meneruskan komunikasi dengan pemimpin Korea Utara itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami