Skip to main content

Dunia

Korea Utara lancar beberapa peluru berpandu balistik, ketegangan di Semenanjung Korea memuncak

Pelancaran terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu balistik pada 3 Oktober. - Foto REUTERS
Pelancaran terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu balistik pada 3 Oktober. - Foto REUTERS

Advertisement

SEOUL: Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah perairan di pantai timurnya pada Isnin, menurut tentera Korea Selatan, ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) berkata peluru berpandu itu dilancarkan sekitar jam 9.20 pagi waktu tempatan dari kawasan berhampiran Pyongyang.

Tentera Korea Selatan kini sedang menganalisis jenis dan jarak peluru berpandu berkenaan.

Sementara itu, Pengawal Pantai Jepun memaklumkan Korea Utara turut melancarkan dua objek yang dipercayai peluru berpandu balistik dan kedua-duanya dilaporkan telah jatuh ke laut.

Hubungan antara Seoul dan Pyongyang semakin tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan siri ujian senjata oleh kedua-dua negara serta insiden letupan periuk api di kawasan sempadan bulan lalu yang mencederakan tiga anggota tentera Korea Selatan.

Korea Selatan mendakwa periuk api itu dipasang oleh Korea Utara dan menuntut permohonan maaf, namun Pyongyang menolak tuduhan tersebut serta menuduh Seoul melakukan provokasi.

Minggu lalu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, menyaksikan ujian pertama peluru berpandu hipersonik negara itu yang diumumkan secara terbuka, satu langkah yang jarang dilakukan oleh pemimpin negara berkenaan.

Pelancaran terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu balistik pada 3 Oktober.

Adik pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, iaitu Kim Yo Jong, ketika itu berkata ujian berkenaan melibatkan peluru berpandu strategik jarak sederhana.

Menurut laporan, Pyongyang telah menjalankan lebih 10 ujian peluru berpandu sepanjang tahun ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Timur.

 

 

Must Watch Video

Advertisement