Korea Utara lancar peluru berpandu jarak dekat

Bernama
September 25, 2022 04:03 MYT
Orang ramai menonton berita di televisyen yang menunjukkan imej arkib pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara di Stesen Keretapi Seoul, Korea Selatan, 25 Sept 2022. (Foto AP)
SEOUL: Ketua Staf Bersama (JCS) Korea Selatan pada Ahad mendakwa Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat di perairan timurnya.
JCS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengesan kehadiran peluru berpandu di kawasan sekitar Taechon, wilayah Pyongan Utara, pada 6.53 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun butiran lanjut mengenai pelancaran itu tidak didedahkan.
Korea Selatan dalam keadaan bersiap siaga serta menjalin kerjasama erat dengan Amerika Syarikat (AS) sambil mengukuhkan kewaspadaan dan pengawasan, menurut JCS.
Pelancaran peluru berpandu Korea Utara dilakukan dua hari selepas kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear AS tiba di Busan, kira-kira 390 kilometer dari tenggara Seoul, bagi mengadakan latihan dengan tentera laut Korea Selatan sehingga akhir bulan ini.
--BERNAMA
#Korea Selatan #peluru berpandu balistik jarak dekat #Korea Utara #Amerika Syarikat