Korea Utara lancar tiga peluru balistik jarak dekat ke Laut Timur

Bernama
Disember 31, 2022 04:20 MYT
Siaran televisyen menunjukkan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara. - Foto AP
SEOUL: Korea Utara melancarkan tiga peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Timur pada Sabtu, kata tentera Seoul.
Ketua Staf Bersama (JCS) memaklumkan pihaknya mengesan kehadiran peluru berpandu dari Daerah Chunghwa, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan Pyongyang, pada 8 pagi dan bergerak sejauh 350 km, lapor Agensi Berita Yonhap.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut didedahkan.
JCS mengecam pelancaran peluru berpandu itu dan menyifatkannya sebagai tindakan "provokasi" yang menjejaskan keamanan dan kestabilan bukan sahaja di Semenanjung Korea tetapi masyarakat antarabangsa, dan "jelas" melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu dan menyeru agar ia dihentikan segera.
"Tentera kami akan mengekalkan kedudukan siap siaga yang kukuh berdasarkan keupayaan untuk bertindak balas secara besar-besaran terhadap sebarang provokasi Korea Utara," menurut JCS menerusi mesej teks yang dihantar kepada pemberita.
Pyongyang dijangka mengumumkan matlamat dasarnya untuk 2023 berikutan mesyuarat pleno Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja pada minggu ini.
Korea Utara sebelum ini melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Timur pada 23 Dis.
-- BERNAMA
#peluru berpandu balistik #Laut Timur #JCS #provokasi