DUNIA

Korea Utara lancar ujian peluru berpandu beberapa jam sebelum lawatan Trump ke Korea Selatan

Agensi 29/10/2025 | 02:10 MYT
Ujian peluru berpandu itu disifatkan sebagai satu kejayaan penting dalam pembangunan kekuatan nuklear Korea Utara sejajar dengan langkah pencegahan perang.
SEOUL: Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu jelajah dari pesisir barat negara itu, hanya beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual memulakan lawatan ke Korea Selatan.

Menurut agensi berita rasmi KCNA, peluru berpandu jenis laut ke darat itu dilancarkan secara menegak dari Laut Kuning pada Selasa dan terbang selama lebih dua jam.

Ujian tersebut diselia oleh pegawai tertinggi tentera, Pak Jong Chon, yang menyifatkan ia sebagai satu kejayaan penting dalam pembangunan kekuatan nuklear negara itu sebagai langkah pencegahan perang.

Pak berkata, ujian itu bertujuan menilai kebolehpercayaan pelbagai sistem serangan strategik dan menghantar mesej kepada "musuh-musuh" Pyongyang.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan tempur nuklear,” katanya.

Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un tidak hadir dalam ujian tersebut - satu kelainan memandangkan beliau lazimnya mengetuai pelancaran peluru berpandu utama.

Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertemu Kim semasa lawatan ke Semenanjung Korea dalam penggal keduanya sebagai Presiden.

Kim pula menyatakan kesediaan untuk berbincang sekiranya Washington menggugurkan tuntutan “mengarut” supaya Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.

Penganalisis dari Universiti Kajian Korea Utara di Seoul, Prof Yang Moo-jin berkata, pelancaran itu memperkukuh mesej Pyongyang bahawa pelucutan senjata nuklear tidak lagi menjadi pilihan.

“Ia juga menunjukkan kekuatan pencegahan nuklear Korea Utara menjelang lawatan Trump,” katanya kepada AFP.

Kali terakhir kedua-dua pemimpin bertemu adalah pada 2019 di Zon Bebas Tentera (DMZ), sempadan era Perang Dingin yang memisahkan Korea Utara dan Selatan.

Setakat ini, Korea Utara belum memberikan maklum balas rasmi terhadap jemputan pertemuan tersebut.

Sementara itu, Prof Lim Eul-chul dari Institut Kajian Timur Jauh, Universiti Kyungnam berkata, ketiadaan Kim dalam ujian pelancaran itu adalah signifikan.

“Ini bukan cubaan terbuka untuk memalukan Trump,” katanya.

Kim juga tidak disebut dalam laporan KCNA mengenai ujian peluru berpandu hipersonik yang dijalankan minggu lalu. - Agensi



#Korea Utara #peluru berpandu Korea Utara #Donald Trump #Trump lawat Korea Selatan #Kim Jong Un