Korea Utara lancar ujian peluru berpandu Hwasong-15 antara benua - Laporan

Bernama
Februari 19, 2023 23:15 MYT
Imej dikeluarkan kerajaan Korea Utara menunjukkan pelancaran ujian ICBM Hwasong-15 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang di Pyongyang, 18 Feb 2023. (Foto AP)
SEOUL: Korea Utara didakwa melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-15 pada Sabtu sebelum jatuh ke dalam laut, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Peluru berpandu itu dilancarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang pada petang Sabtu.
Hwasong-15 mencapai ketinggian maksimum 5,768 kilometer (3,584 batu) dengan meliputi jarak perjalanan sejauh 989 kilometer.
Menteri Pertahanan Jepun Yasukazu Hamada berkata bahawa peluru berpandu itu berpotensi menjelajah sejauh 14,000 kilometer (8,700 batu) sehingga ke Amerika Syarikat.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno berkata peluru berpandu itu kemudiannya jatuh ke dalam laut, kira-kira 200 kilometer dari barat pulau Oshima, dalam zon ekonomi eksklusif Jepun.
Negara-negara jiran mengutuk tindakan Pyongyang, tiga bulan selepas Korea Utara melancarkan ujian ICBM Hwasong-17.
--BERNAMA
#Korea Utara #peluru berpandu balistik antara benua #ICBM #Hwasong-15