Hong Kong kini diisytiharkan sebagai darurat susulan penularan koronavirus, sekali gus meningkatkan tahap respond daripada serius kepada peringkat tertinggi.

Ketua Eksekutifnya, Carrie Lam berkata semua sekolah di bandaraya itu terus ditutup selain membatalkan acara maraton Standard Chartered Hong Kong.

Semua penerbangan dan keretapi laju dari Wuhan ke Hong Kong juga akan ditunda dari semasa ke semasa.

Carrie yang baru tiba ke bandaraya itu pada pagi Sabtu selepas berada di Davos, Switzerland bagi menghadiri Forum Ekonomi Sedunia, turut dikritik akibat kelemahan pentadbirannya menguruskan penularan virus itu ketika ketiadaannya.

"Tiada alasan untuk menunggu saya balik. Malah semasa saya di Davos, saya tidak henti beri arahan kepada Setiausaha Kesihatan, Sophia Chan dan Ketua Setiausaha, Matthew Cheung," katanya memetik laporan agensi tempatan.

BACA: Koronavirus: 1,287 kes di China, jumlah kematian meningkat kepada 41

BACA: Koronavirus: Pesakit di China pulih guna dos Nelfinavir

Sehingga Jumaat, lima kes positif koronavirus dikenal pasti di Hong Kong selain 107 kes lain masih menunggu ujian makmal.

Kesemua pesakit pernah ke Wuhan, China iaitu pusat penularan virus tersebut.