Koronavirus: Jumlah kematian meningkat kepada 362

Astro Awani
Februari 3, 2020 00:30 MYT
Ilustrasi dikeluarkan Centers for Disease Control and Prevention Amerika Syarikat pada Januari lalu menunjukkan virus 2019-nCoV, dikenal pasti punca jangkitan yang mengakibatkan wabak, yang bermula di Wuhan, China. (Foto AP)
PIHAK berkuasa kesihatan di tanah besar China mengumumkan lebih banyak kes koronavirus yang berasal dari Wuhan dan kematian yang dikaitkan dengan penyakit yang merebak dengan cepat itu.
Setakat jam 8 pagi Ahad, menurut laporan South China Morning Post, jumlah kes positif jangkitan koronavirus baru 2019-nCoV ialah 17,205 kes dengan 361 kematian.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional China dipetik berkata, 2,829 kes baru dan 57 kematian dilaporkan di China pada Ahad, berbanding 2,590 kes baru dan 45 kematian pada Sabtu.
Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan, 56 adalah di wilayah Hubei - pusat kejadian wabak koronavirus itu - dan satu di Chongqing.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa
BACA: Pasukan petugas mula operasi bilik sekretariat di Wuhan
Di Hubei, jumlah kes yang disahkan positif meningkat kepada 2,103, dengan 56 kematian, meningkat dari 1,921 dan 45 pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 171 kes telah dilaporkan di lebih 20 negara dan wilayah lain, termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, Hong Kong dan Britain.
Di Filipina, seorang lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia pada Sabtu, korban pertama di luar China akibat virus tersebut, menjadikan jumlah kesemuanya 362 kematian setakat ini.
#2019-nCoV #China #Hubei #jangkitan #kematian #koronavirus baru #meninggal dunia #novel coronavirus #Wuhan