Koronavirus: Wuhan rancang tukar lapan bangunan kepada hospital sementara

Isabelle Leong
Februari 5, 2020 12:52 MYT
Rakaman media tempatan menunjukkan katil sudah disusun dan peralatan perubatan dipasang di salah sebuah pusat pameran di Wuhan, Hubei. - AP Newsroom
Susulan lambakan pesakit dijangkiti novel koronavirus (2019-nCoV), bandar Wuhan merancang untuk menukarkan lapan bangunan besar, termasuk pusat pameran dan gimnasium kepada hospital sementara, lapor media tempatan.
Tiga lokasi sudah diubah menjadi hospital sementara sejak dua hari lalu dan menyediakan 3,800 katil buat pesakit yang mengalami simptom ringan koronavirus.
Rakaman media tempatan menunjukkan katil sudah disusun dan peralatan perubatan dipasang dalam Gimnasium Hongshan Wuhan.
Hospital sementara digunakan untuk memberikan bantuan kecemasan, rawatan pembedahan dan pemeriksaan klinikal.
Hospital sementara, Huoshenshan, yang dibina ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina mula beroperasi pada Selasa.
BACA: Hospital khas koronavirus siap kurang 10 hari, siapa di sebalik pembinaannya?
Sayap ketenteraan Parti Komunis, Tentera Pembebasan Rakyat, menghantar 1,400 doktor, jururawat dan kakitangan yang lain ke hospital di Wuhan.
Untuk rekod, Wuhan merupakan lokasi pertama wabak koronavirus tersebut dikesan pada Disember lalu dan kini mempunyai lebih 16,000 kes yang dikesan positif.
Seramai 362 orang di bandar tersebut telah mati disebabkan virus tersebut.
#China #gimnasium #hospital sementara #Hubei #Huoshenshan #koronavirus #nCoV #novel koronavirus #pusat pameran #virus Wuhan #Wuhan