Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 12 daripada 23 kes kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Selatan disyaki melibatkan pihak korporat dan unsur kesengajaan.
- Data BPBD menunjukkan sekitar 70,000 hektar tanah terbakar dalam tiga bulan lalu, namun hanya 41 hektar masih terbakar ketika ini.
- Krisis jerebu akibat kebakaran menjejaskan sektor pendidikan, memaksa beberapa kawasan melaksanakan pembelajaran jarak jauh akibat pencemaran udara.
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 12 kes kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Selatan, Indonesia disyaki melibatkan pihak korporat, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai unsur kesengajaan di sebalik krisis jerebu.
Perkara itu didedahkan Ketua Kompas TV Banjarmasin, Fadli Azhari yang memaklumkan, kes berkenaan merupakan sebahagian daripada 23 kes yang sedang disiasat polis tempatan.
Tambahnya, sebanyak 11 kes lagi disyaki berpunca daripada tindakan individu yang menjalankan aktiviti pembukaan tanah bagi tujuan perladangan atau kepentingan lain.
"Setakat ini, data Polis Kalimantan Selatan menunjukkan sekurang-kurangnya 23 kes kebakaran hutan dan tanah sedang disiasat, termasuk kes yang disyaki mempunyai unsur kesengajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Astro AWANI hari ini ketika mengulas kebakaran hutan dan tanah yang turut dikaitkan dengan masalah jerebu di Malaysia.
Menurut Fadli, faktor cuaca kering dan fenomena El Nino merupakan antara pencetus kebakaran, namun unsur aktiviti pembukaan tanah dengan sengaja turut disyaki menyumbang kepada krisis berkenaan.
Namun pada masa Fadli tidak mendedahkan entiti korporat tersebut sama ada melibatkan syarikat domestik atau antarabangsa.
Data Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) menunjukkan kira-kira 70,000 hektar kawasan tanah terbakar di Kalimantan Selatan dalam tempoh tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, keadaan dilaporkan semakin reda berbanding sebulan lalu apabila sebahagian titik api berjaya dipadamkan, dengan kira-kira 41 hektar kawasan masih terbakar.
Mengulas keadaan di Kalimantan Tengah, beliau berkata, Palangkaraya masih diselubungi jerebu tebal meskipun beberapa kawasan menerima hujan ringan sepanjang minggu lalu.
Malah, kepekatan asap menyebabkan langit di bandar berkenaan bertukar kekuningan, dengan keadaan itu berlarutan selama beberapa hari.
"Langit bertukar menjadi kuning akibat asap yang terlalu tebal selama beberapa hari, dari siang hingga malam," katanya.
Krisis berkenaan turut menjejaskan sektor pendidikan apabila beberapa kawasan di Kalimantan Selatan terpaksa melaksanakan pembelajaran jarak jauh susulan pencemaran udara.
Fadli berkata, sesi pembelajaran bersemuka hanya disambung semula selepas keadaan jerebu beransur reda, termasuk di kawasan berhampiran lokasi kebakaran.
Sementara itu, siasatan terhadap 23 kes berkenaan masih menjadi antara perkembangan penting dalam usaha mengenal pasti kemungkinan unsur kesengajaan di sebalik kebakaran hutan dan tanah.