DUNIA

Kotak hitam helikopter Ghana yang terhempas ditemukan

Bernama 08/08/2025 | 21:30 MYT
Helikopter tentera itu terhempas pada pagi Rabu, mengorbankan semua lapan penumpang termasuk Menteri Pertahanan Edward Kofi Omane Boamah. - Foto X/RT
ACCRA: Menteri Wilayah Ashanti Ghana, Frank Amoakohene, mendedahkan bahawa kotak hitam helikopter tentera yang terhempas dan mengorbankan kesemua lapan orang di dalamnya pada Rabu, telah ditemukan, lapor Xinhua.

Dalam hantaran di laman media sosial rasminya pada Khamis, Amoakohene berkata peranti itu akan membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan punca tragedi berkenaan.

Menteri wilayah itu mengetuai misi mencari dan menyelamat selepas kejadian pada Rabu, memastikan semua mayat mangsa dibawa ke ibu negara Ghana, Accra.

Sementara itu, kerajaan Ghana mengadakan upacara meletakkan bunga pada lewat Khamis bagi memperingati mangsa.

Helikopter tentera itu terhempas pada pagi Rabu, mengorbankan semua lapan penumpang termasuk Menteri Pertahanan Edward Kofi Omane Boamah dan Menteri Alam Sekitar, Sains, Teknologi dan Inovasi Ibrahim Murtala Muhammed.

-- BERNAMA






#Ghana #helikopter tentera terhempas #kotak hitam #menteri Ghana