DUNIA
Krisis kehakiman India: Satu juta kes belum selesai di Mahkamah Tinggi Allahabad
Mahkamah Tinggi Allahabad merupakan antara mahkamah tertua di India.
NEW DELHI: Mahkamah Tinggi Allahabad - antara institusi kehakiman paling berprestij di India yang pernah disertai tokoh seperti Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru serta ramai hakim Mahkamah Agung - kini kembali menjadi perhatian, namun dengan alasan yang berbeza.
Mahkamah tertua itu kini berdepan krisis besar apabila lebih sejuta kes masih tertangguh, menjadikannya antara mahkamah paling dibebani di India.
Kes-kes yang melibatkan perbicaraan jenayah, pertikaian harta dan perbalahan keluarga telah berlarutan selama beberapa dekad, mengakibatkan ribuan rakyat di negeri terpadat India, Uttar Pradesh, terus terperangkap dalam ketidakpastian undang-undang.
Antaranya, Babu Ram Rajput, 73, seorang pesara kerajaan yang masih menunggu penyelesaian kes pertikaian tanah sejak 1992.
“Saya hanya berharap kes saya diputuskan ketika saya masih hidup,” katanya penuh kecewa.
Krisis ini mencerminkan kelemahan lebih luas dalam sistem kehakiman India yang kekurangan hakim, berdepan penangguhan siasatan polis, kelewatan prosiding selain infrastruktur yang serba daif.
Dengan kekuatan rasmi 160 hakim - namun tidak pernah diisi sepenuhnya - setiap hakim kini menanggung beban ratusan hingga ribuan kes sehari.
Dalam tempoh lima jam waktu bekerja, ramai plaintif tidak sempat didengar.
Peguam kanan Syed Farman Naqvi menjelaskan, kes-kes mendesak seperti permohonan ikat jamin diberi keutamaan, manakala kes lama terus tertangguh.
Sementara itu, bekas hakim Amar Saran menyifatkan hakim kini terpaksa mengambil pendekatan “separa siap” dengan hanya mengeluarkan arahan ringkas.
Pada April lalu, mahkamah berdepan kritikan apabila hanya memutuskan kes rogol dan bunuh selepas lebih 40 tahun - ketika itu, empat daripada lima pesalah sudah meninggal dunia.
Masalah ini turut mendapat perhatian Mahkamah Agung India yang menyifatkan keadaan di Mahkamah Tinggi Allahabad sebagai “sangat membimbangkan” dan “sistem yang runtuh.”
Penduduk dari seluruh Uttar Pradesh terpaksa menempuh perjalanan ratusan kilometer ke kota Prayagraj untuk menghadiri prosiding, walaupun tarikh perbicaraan sering tidak menentu.
Gesaan agar sebuah lagi cawangan mahkamah ditubuhkan semakin lantang, namun cadangan yang sudah wujud sejak 1985 itu masih tidak direalisasikan.
Walaupun kerajaan negeri pernah mencadangkan pembukaan cawangan baharu tahun ini, cadangan itu ditarik balik tanpa alasan jelas.
Proses melantik hakim baharu pula sangat perlahan, melibatkan saringan berlapis antara Mahkamah Tinggi, kerajaan negeri, kerajaan pusat serta Mahkamah Agung.
Tahun lalu, hanya seorang hakim dilantik walaupun hampir separuh kerusi kosong.
Beberapa lantikan baharu dibuat tahun ini, termasuk 24 hakim minggu lalu, tetapi fail-fail yang mencecah jutaan kes masih belum menampakkan jalan keluar.
Pakar undang-undang menegaskan, walaupun pengisian penuh dapat dicapai, setiap hakim masih perlu menguruskan lebih 7,000 kes tertunggak.
Bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Allahabad, Govind Mathur menegaskan, reformasi menyeluruh diperlukan.
"Kita perlukan dasar seragam untuk mendengar dan menyelesaikan kes, bukannya bergantung kepada pendekatan individu,” katanya. - BBC