[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
INTERNATIONAL

Krisis Myanmar: ASEAN mahu pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara, lanjut gencatan senjata

Astro Awani 27/05/2025 | 10:23 MYT
Pemimpin ASEAN dalam kenyataan berkata mereka komited membantu Myanmar dalam mencari penyelesaian yang aman. - Foto/ Reuters
KUALA LUMPUR: Pemimpin ASEAN menegaskan komitmen terhadap proses damai Myanmar dan mahu pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara sebagai rujukan utama dalam menangani krisis politik di negara itu.


Ringkasan AI
  • Pemimpin ASEAN menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara mesti dilaksanakan sepenuhnya sebagai panduan utama untuk menyelesaikan krisis politik di Myanmar secara aman dan inklusif.
  • ASEAN menggesa semua pihak di Myanmar menghentikan segera segala bentuk keganasan, melaksanakan gencatan senjata menyeluruh, dan memastikan keselamatan orang awam serta kemudahan awam.
  • ASEAN komited memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan secara selamat dan berkesan, serta memperkukuh kerjasama dengan negara jiran, rakan luar, dan PBB untuk menangani krisis serta jenayah rentas negara.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin ASEAN, Konsensus Lima Perkara harus dilaksanakan sepenuhnya untuk membantu rakyat Myanmar mencapai penyelesaian damai yang inklusif dan berkekalan, yang dimiliki dan dipimpin oleh Myanmar sendiri.

Ia sekali gus menyumbang kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini.

Pemimpin ASEAN dalam kenyataan sama menambah mereka komited membantu Myanmar dalam mencari penyelesaian yang aman.

"Kami menggesa semua pihak untuk segera menghentikan segala bentuk keganasan terhadap orang awam dan kemudahan awam.

"Kami juga mendesak mereka mengambil tindakan konkrit untuk segera menghentikan keganasan tanpa diskriminasi, mengecam sebarang peningkatan konflik, mengamalkan tahap kawalan diri yang paling tinggi, dan memastikan perlindungan serta keselamatan semua orang awam," kata mereka dalam kenyataan itu hari ini.

Mereka turut menyeru agar gencatan senjata dipanjangkan dan diperluas ke seluruh negara secara berterusan, sebagai langkah awal ke arah penghentian keganasan.

Kata pemimpin ASEAN, langkah itu penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan, serta memulakan dialog nasional yang inklusif, selaras dengan Konsensus Lima Perkara.

"Kami menggesa semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ASEAN dilakukan dengan selamat, tepat pada masanya, berkesan dan telus tanpa diskriminasi," kata mereka.

Dalam masa sama, pemimpin ASEAN berkata pihaknya komited untuk meningkatkan kerjasama antara Negara-Negara Anggota ASEAN dan antara ASEAN dengan rakan luarnya, negara-negara jiran Myanmar, serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menyokong langkah ASEAN menangani krisis di Myanmar.

Ia termasuk peningkatan jenayah rentas negara seperti pengedaran dadah, pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian.

ASEAN kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.











#krisis Myanmar #ASEAN 2025 #ASEAN25 #gencatan senjata