DUNIA

Krisis Rohingya semakin buruk selepas 8 tahun, PBB beri amaran

Bernama 23/08/2025 | 06:15 MYT
Dujarric berkata keganasan telah memaksa lebih ramai Rohingya melarikan diri, dengan ramai mencari perlindungan di Bangladesh yang kini menempatkan lebih 1.1 juta pelarian dari Myanmar. -Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Lapan tahun selepas pengusiran besar-besaran dari negeri Rakhine di Myanmar, masyarakat Rohingya kini berdepan keadaan semakin buruk sama ada di dalam negara itu mahupun di luar, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Lapan tahun selepas pengusiran besar-besaran, masyarakat Rohingya berdepan keadaan semakin teruk dengan keganasan berterusan dan lebih ramai melarikan diri ke Bangladesh yang kini menempatkan lebih 1.1 juta pelarian.
  • Kekurangan dana menjejaskan akses kepada pendidikan, makanan, penjagaan kesihatan, pendapatan dan perlindungan, manakala laporan pengusiran dan deportasi menimbulkan kebimbangan pelanggaran prinsip non-refoulement.
  • PBB menggesa perlindungan orang awam, sokongan antarabangsa yang lebih kukuh, dan penyelesaian politik menyeluruh, dengan harapan Persidangan Peringkat Tinggi Rohingya pada 30 September dapat mengembalikan fokus global terhadap krisis ini.


"Lapan tahun selepas pengusiran besar-besaran secara paksa dari negeri Rakhine, masyarakat Rohingya di dalam dan luar Myanmar menghadapi keadaan yang semakin teruk dalam situasi mereka yang sudah sedia daif," kata Stephane Dujarric.

Beliau berkata keganasan telah memaksa lebih ramai Rohingya melarikan diri, dengan ramai mencari perlindungan di Bangladesh yang kini menempatkan lebih 1.1 juta pelarian dari Myanmar.

Dujarric memberi amaran bahawa laporan mengenai tindakan mengusir, penghantaran paksa balik dan deportasi di rantau ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan pelanggaran prinsip non-refoulement serta ruang suaka yang semakin berkurangan.

Beliau turut menekankan bahawa kekurangan dana telah mengurangkan akses kepada pendidikan, bantuan makanan, penjagaan kesihatan, sumber pendapatan dan perkhidmatan perlindungan.

Dujarric menyatakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres "mengulangi gesaannya untuk melindungi semua orang awam" sejajar dengan kewajipan di bawah undang-undang hak asasi manusia, kemanusiaan dan pelarian antarabangsa.

Beliau mengingatkan lawatan Guterres ke Cox's Bazar awal tahun ini, yang beliau menyaksikan "ketabahan komuniti Rohingya" dan menegaskan keperluan mendesak bagi "kesepaduan antarabangsa yang lebih kukuh dan sokongan ditingkatkan."

Katanya, langkah itu mesti seiring dengan penyelesaian politik menyeluruh yang benar-benar melibatkan masyarakat Rohingya serta menangani isu pengusiran mereka dan punca krisis yang berpanjangan.

Guterres turut menyuarakan harapan agar Persidangan Peringkat Tinggi mengenai Rohingya dan minoriti lain yang dijadual berlangsung pada 30 Sept di New York di bawah mandat Perhimpunan Agung PBB akan membantu mengembalikan tumpuan global terhadap keperluan mendesak penyelesaian berkekalan.

Dujarric menambah bahawa utusan khas Setiausaha Agung PBB mengenai Myanmar sedang "melibatkan semua pihak berkepentingan ke arah penghentian keganasan" dan berusaha memajukan "proses politik diketuai Myanmar yang berdaya maju" bagi membolehkan "kepulangan sukarela, selamat, bermaruah dan mampan" masyarakat Rohingya.

-- BERNAMA




#Antonio Guterres #PBB #Rohingya #Myanmar