MOSCOW: Moscow umum melarang kemasukan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan beberapa pegawai tertinggi United Kingdom (UK) selepas London mengenakan sekatan ke atas Rusia berhubung operasi ketenteraannya di Ukraine.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, ia sebagai tindak balas terhadap maklumat dan kempen politik London yang tidak terkawal dalam mengasingkan Rusia di peringkat antarabangsa, mewujudkan syarat untuk menyekat negara dan ekonomi domestik.

Selain itu, kementerian turut menuduh London melakukan tindakan bermusuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, khususnya merujuk kepada sekatan ke atas pegawai kanan Rusia.

Menurut kenyataan kementerian itu, kepimpinan Britain sengaja memburukkan keadaan di sekitar Ukraine, menyalurkan rejim Kyiv dengan senjata maut dan menyelaraskan usaha serupa bagi pihak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Senarai hitam kemasukan ke Rusia termasuk Timbalan Perdana Menteri UK Dominic Raab, Setiausaha Luar Liz Truss, Setiausaha Pertahanan Ben Wallace, bekas Perdana Menteri Theresa May, dan Menteri Pertama Scotland Nicola Sturgeon.

Britain menjadi sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk menghukum Rusia dengan pembekuan aset, larangan perjalanan dan sekatan ekonomi sejak Presiden Vladimir Putin memindahkan tentera ke Ukraine pada 24 Februari.