SINGAPURA mengumumkan sekatan terhadap Rusia termasuk empat bank dan larangan eksport ke atas elektronik, komputer dan barangan ketenteraan, pada sabtu.

Ia dianggap satu langkah yang jarang dilakukan oleh hab kewangan Asia itu sebagai tindak balas kepada tindakan ketenteraan Rusia terhadap Ukraine.

Singapura yang merupakan hab perkapalan antarabangsa, jarang mengenakan sekatan sendiri tetapi berkata, negara itu tidak akan membenarkan eksport barangan yang boleh mendatangkan bahaya kepada atau menundukkan Ukraine, atau membantu Rusia melancarkan serangan siber.

Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak boleh menerima pencabulan kerajaan Rusia terhadap kedaulatan dan integriti wilayah negara berdaulat yang lain.

Jelasnya, bagi sebuah negeri kecil seperti Singapura, ia bukan prinsip teori, tetapi satu situasi yang berbahaya.

Inilah sebabnya Singapura mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa provokasi Rusia.

Sekatan itu menghalang institusi kewangan Singapura daripada melakukan transaksi dengan Syarikat Saham Bersama Awam VTB Bank, Bank Perbadanan Untuk Pembangunan dan Hal Ehwal Ekonomi Luar Vnesheconombank, Syarikat Saham Bersama Awam Promsvyazbank dan Bank Rossiya.

Langkah itu juga meliputi mata wang kripto.

Institusi kewangan juga dilarang daripada melakukan transaksi dan menyediakan perkhidmatan yang memudahkan pengumpulan dana untuk kerajaan Rusia, bank pusat atau entiti di bawah kawalan mereka.

Pendirian Singapura menentang pencerobohan Rusia adalah yang paling kuat setakat ini oleh sebuah negara Asia Tenggara.