TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesahkan dua pertiga daripada kanak-kanak di Ukraine telah meninggalkan rumah mereka dalam tempoh enam minggu sejak pencerobohan Rusia.

Agensi kanak-kanak PBB itu berkata, seramai 142 kanak-kanak telah terbunuh dan 229 cedera dan angka itu kemungkinan besar lebih tinggi akibat peperangan.

Pengarah program kecemasan UNICEF Manuel Fontaine berkata kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Isnin, daripada 3.2 juta kanak-kanak yang tinggal di rumah mereka, hampir separuh mungkin berisiko tidak mendapat makanan yang mencukupi.

Ini diburukkan lagi dengan serangan terhadap infrastruktur sistem air dan gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan kira-kira 1.4 juta individu di Ukraine tidak mendapat akses kepada air.

Tambahnya, keadaan lebih teruk di bandar-bandar seperti Mariupol dan Kherson di selatan, yang dikepung tentera Rusia.

Di kawasan tersebut, katanya, kanak-kanak dan keluarga mereka menghabiskan berminggu-minggu tanpa bekalan air, sanitasi atau bekalan makanan.

"Laporan pelanggaran dan pencabulan hak asasi yang serius terhadap kanak-kanak sudah tentunya sesuatu yang sangat dahsyat.

"Kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa konflik dan sepatutnya dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terpakai.

"Tetapi, ia tidak berlaku di sini," kata Fontaine yang baru pulang dari Ukraine minggu lepas.



Rusia-Ukraine | Kanak-kanak jadi pelarian, 142 terbunuh


"Di seluruh negara, kanak-kanak berdepan halangan terhadap akses kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, perlindungan, air, sanitasi, pendidikan.

"Skala dan skop keperluan untuk perkhidmatan akan bertambah apabila perang berlarutan. Dan ia adalah sebahagian daripada perbincangan di UNSC, bahawa perang perlu ditamatkan," tegasnya.

Beliau berkata penutupan sekolah menjejaskan pendidikan 5.7 juta kanak-kanak sekolah dan 1.5 juta pelajar peringkat pendidikan tinggi.