MARIUPOL: Sebuah teater di Mariupol yang menempatkan ratusan orang untuk berlindung dibom pada Rabu.

Jumlah mangsa yang terkesan masih belum didedahkan pihak berkuasa tempatan.

Insiden tragik berkenaan berlaku ketika ratusan ribu masih berperangkap di bandar pantai Ukraine yang telah dikepung selama berminggu-minggu oleh tentera Rusia.

Majlis Bandaraya Mariupol turut berkongsi imej bangunan yang musnah dengan mendakwa tentera Rusia sengaja memusnahkan Teater Drama di tengah-tengah Mariupol.

Pesawat pengebom Rusia menjatuhkan bom ke atas bangunan di mana ratusan penduduk Mariupol bersembunyi mendapatkan perlindungan.

Lapor CNN berdasarkan tinjauan imej satelit mengesahkan teater berkenaan terletak di bandar pelabuhan di tenggara itu.

Lebih memilukan, terdapat tanda perkataan "kanak-kanak" dalam bahasa Rusia telah ditulis di dua sisi teater sebelum dibom.

Dilaporkan, selepas pengeboman, bahagian tengah teater itu musnah, begitu juga pintu masuk ke tempat perlindungan orang ramai turut musnah.

Penasihat Datuk Mariupol, Petro Andruishchenko menyifatkan teater berkenaan sebagai tempat perlindungan terbesar di bandar itu.

Serangan bom turut berlaku di sebuah bangunan sekitar empat kilometer dari teater bagi kegunaan orang awam iaitu hanya wanita dan kanak-kanak bersembunyi di situ.

Anggota penyelamat sedang cuba mengeluarkan seorang wanita hamil daripada runtuhan.

Mariupol dikepung oleh tentera Rusia sejak 1 Mac lalu selepas beberapa minggu percubaan untuk mewujudkan koridor pemindahan orang awam gagal.

Kira-kira 200,000 orang berjaya meninggalkan bandar itu pada Selasa.

Penduduk pada ketika ini hidup tanpa bekalan elektrik, air dan sumber makanan yang mencukupi.